Kes Ustaz Budak bukan fitnah

Ustaz Budak didakwa atas lapan pertuduhan berhubung jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki.
Ustaz Budak didakwa atas lapan pertuduhan berhubung jenayah seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki.
A
A
A

PASIR PUTEH - Empat laporan yang diterima Polis Kelantan berkait jenayah seksual melibatkan seorang penceramah agama juga dikenali sebagai Ustaz Budak menggambarkan tuduhan itu bukan bersifat fitnah seperti dakwaan sesetengah pihak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jika laporan itu bersifat fitnah pihaknya tidak dapat melakukan pertuduhan kes tersebut di mahkamah.

"Kalau fitnah, biasanya hanya satu laporan (polis) sahaja yang kita terima dan tuduhan (di mahkamah) tidak dapat dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ustaz Budak' didakwa 8 pertuduhan seksual terhadap kanak-kanak

Ustaz Budak dituduh lagi esok

Ustaz Budak didakwa lagi

"Tetapi sebaliknya, apabila empat laporan telah diterima Polis Kelantan dan semua Timbalan Pendakwa Raya (DPP) setuju untuk tuduh. Itu bukan fitnah," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, terdapat segelintir masyarakat menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Ustaz Budak juga merupakan pemilik sebuah madrasah di Machang itu berbaur fitnah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang siasatan dilakukan individu tersebut mengaku tidak bersalah.

Beliau berkata, bagaimanapun polis mempunyai bukti dan saksi berkait laporan salah laku itu.

"Pada awalnya kebanyakan mangsa tidak mahu membuat laporan kerana mahu menjaga nama baik masing-masing.

"Namun bila ada (mangsa) yang tampil membuat laporan, barulah mereka berani untuk mengikut jejak langkah sama," katanya.

Sinar Harian online pada Khamis melaporkan, Ustaz Budak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan berhubung melakukan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki.

Tertuduh, Syamsul Zaman Sukri, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa dengan maksud seksual telah meraba kemaluan seorang kanak-kanak lelaki dan membuatkan mangsa memegang kemaluannya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di asrama madrasah dan sebuah bilik di rumah tanpa nombor di Kampung Awah, Machang jam 11 malam pada November 2017 hingga September 2018.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, Syamsul Zaman dengan maksud seksual telah meraba kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun sembilan bulan dan membuatkan mangsa memegang kemaluannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di rumah sama, jam 11 malam pada 29 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama bersama Seksyen 16 akta sama.