X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Sekatan jalan raya bergerak pantau laluan tikus

Polis akan memantau laluan tikus dengan menggerakkan sekatan jalan raya bergerak untuk memastikan tiada yang merentas negeri tanpa kebenaran.
A
A

BUTTERWORTH - Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mereka yang masih berdegil merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran yang sah bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya melaksanakan empat sekatan jalan raya bergerak di daerah tersebut fokus di beberapa laluan tikus yang telah dikenal pasti.

"Kesemua sekatan jalan raya bergerak ini akan dijalankan mengikut waktu iaitu waktu orang kerap merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dengan menggunakan laluan tikus.

"Beberapa kawasan antaranya Tasek Gelugor dan Ara Kuda, kita sudah menjalankan sekatan jalan raya bergerak ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau Stesen Keretapi Tanah Melayu Butterworth, di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai tinjauannya itu, Noorzainy berkata, sehingga kini, semua penumpang kereta api mematuhi peraturan apabila dapat menunjukkan kebenaran yang sah bagi membolehkan mereka merentas negeri.

"Kita juga buat pemeriksaan ke atas kereta api yang hendak menghala ke Padang Besar dan semua penumpang ada kebenaran merentas negeri. Ada seorang pelajar, dia tinggal di sini dan hendak pulang ke sekolah di Perlis.

"Dia mempunyai surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri, jadi tiada masalah untuk dia ke Perlis," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang masih berada di kampung diberi kelonggaran untuk pulang ke rumah atau tempat kerja masing-masing selewat-lewatnya pada Jumaat.

Ia susulan pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), bermula tengah malam Rabu.

Ismail berkata, kelonggaran itu bagi mengelakkan mereka terperangkap di kampung susulan sekatan jalan raya yang tidak membenarkan merentas negeri sepanjang tempoh PKP, PKPB dan PKPP.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!