X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: 24 maahad, madrasah terima bantuan Muip

Sebahagian al-Quran, kitab dan buku yang musnah akibat banjir.
A
A

TEMERLOH - Sebanyak 24 buah maahad tahfiz dan madrasah yang terjejas akibat banjir di Pahang menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan jumlah keseluruhan RM176,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, untuk fasa pertama sebanyak RM70,000 diberikan kepada sembilan pusat pengajian Islam di dua daerah iaitu di Temerloh dan Maran dengan masing-masing menerima bantuan antara RM5,000 dan RM10,000.

Menurutnya, bantuan itu diberikan susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas Seri Paduka Baginda melawat Maahad Tahfiz Al-Amin, Kampung Berhala Gantang, di sini yang ditenggelami banjir.

"Bantuan diberikan bagi meringankan beban kerugian harta benda maahad dan madrasah selepas ditenggelami banjir pada minggu lalu. Masih terdapat dua lagi pusat pendidikan Islam berkenaan di Pekan dan Maran yang ditenggelami banjir.

Asmadi ketika melihat kerosakan yang berlaku akibat banjir yang berlaku pada minggu lalu.
Asmadi ketika melihat kerosakan yang berlaku akibat banjir yang berlaku pada minggu lalu.

"Bantuan bencana yang diberikan MUIP kali ini merupakan kali ketiga selepas kejadian banjir besar di Pahang berlaku pada 2014 dan 2017 iaitu dua kategori bantuan diberikan membabitkan kerosakan teruk dan ringan," katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Islam Al-Mukmin, Kampung Paya Kechik di sini pada Khamis.

Hadir sama, Kadi Daerah Temerloh, Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah dan Ketua Unit Pendidikan Muip, Mohd Azri Salehuddin.

Dalam pada itu Asmadi berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan bantuan lain seperti kerusi, meja dan almari memandangkan banyak peralatan itu rosak akibat ditenggelami banjir.

Sementara itu, Asmadi berkata, fasa kedua bantuan bencana kepada 15 maahad dan madrasah di Lipis, Raub, Jerantut, Pekan dan Maran akan diberikan dalam tempoh terdekat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!