PKP: Hanya pasangan ada kebenaran awal dibenar nikah

Tempoh majlis akad nikah juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk khutbah nikah dan bacaan taklik. - Gambar hiasan
Tempoh majlis akad nikah juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk khutbah nikah dan bacaan taklik. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Pasangan yang mendapat kebenaran berkahwin daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Melaka sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dibenar bernikah sepanjang tempoh PKP.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Md Azhan Samat berkata, majlis akad nikah tersebut hanya dibenar dilakukan di PAID dengan enam orang dibenarkan berada semasa majlis tersebut iaitu wali, jurunikah, pengantin lelaki dan pengantin perempuan serta dua saksi lelaki.

"Tempoh majlis akad nikah juga hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 20 minit sahaja termasuk khutbah nikah dan bacaan taklik, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pasangan pengantin dari kawasan atau negeri yang diisytiharkan zon merah juga disyaratkan menjalani ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah yang diadakan di Melaka.

Pendaftar Kanan Nikah Cerai Rujuk mempunyai kuasa untuk menolak permohonan mengadakan majlis akad nikah jika tatacara yang ditetapkan tidak dipatuhi pemohon atau bakal pengantin.

"Bagi semua permohonan pendaftaran perceraian dan rujuk yang benar-benar perlu sahaja boleh dihantar ke PAID melalui janji temu yang dibuat lebih awal.

"Dokumen yang lengkap hendaklah dibawa bersama dan PAID berhak menolak permohonan sekiranya tidak lengkap, manakala perkhidmatan runding cara kekeluargaan atau pertanyaan umum berkaitan perkahwinan, penceraian dan rujuk amat digalakkan secara dalam talian sepanjang tempoh PKP ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: