Vaksin Covid-19: Kerajaan berada di landasan tepat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan dilihat berada di landasan yang tepat dengan membuat penjadualan vaksinasi Covid-19 kepada tiga fasa.

Pakar Imunologi, Profesor Dr Norazmi Mohd Nor berkata, bekalan vaksin yang terhad memerlukan keutamaan untuk diberikan kepada golongan yang paling berisiko.

"Pertamanya ialah untuk barisan hadapan. Vaksin perlu diberikan terhadap mereka bukan sahaja untuk melindungi diri tetapi kerana tugas mereka sangat penting untuk menjaga keselamatan seluruh rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, warga emas dan orang dewasa yang mempunyai penyakit tertentu seperti darah tinggi serta kencing manis juga dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi.

"Mereka juga perlu mendapatkan vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19," katanya.

Dr Norazmi yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, golongan dewasa yang sihat perlu terus mengambil pendekatan mematuhi serta mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sementara menunggu untuk menerima vaksin.

"Golongan dalam fasa ketiga ini adalah mereka yang sihat dan jika terkena jangkitan, besar kemungkinan ia tidak begitu teruk," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu memahami keadaan negara yang memperoleh bekalan vaksin secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Golongan dewasa sihat perlu bersabar untuk menunggu giliran sebelum menerima vaksin. Kalau tiba giliran mereka, silalah terima vaksin tersebut sebagai langkah terbaik untuk memastikan diri kita dan komuniti kita sama-sama dilindungi.

"Insya-ALLAH, jika begitu, bijaklah kita berbuat sedemikian," katanya.

Tambah beliau, seluruh dunia sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan vaksin bagi memenuhi keperluan rakyat masing-masing.

"Bukan sahaja Malaysia, semua negara di dunia tidak dapat melakukan vaksinasi terhadap rakyat mereka sekali gus. Dengan jumlah vaksin yang terhad, tidak mungkin kita amalkan sistem 'siapa dulu dia dapat'.

"Maka wajarlah kerajaan melakukan vaksinasi kepada golongan yang memerlukannya mengikut keutamaan seperti yang diamalkan di banyak negara lain," katanya.

Dr Norazmi berkata, apabila vaksin diperoleh kelak, SOP tetap perlu diteruskan dalam kehidupan seharian.

"Pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, kita mengamalkan SOP yang ketat sehingga akhirnya beberapa kali tiada kes baharu direkodkan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Dr Leow Chiuan Yee juga senada dengan Dr Norazmi.

Dr Leow berkata, golongan yang lebih cenderung terdedah kepada jangkitan virus perlu dilindungi terlebih dahulu.

"Mereka perlu menerima vaksin bagi mengurangkan kebarangkalian transmisi jangkitan di sekitarnya," katanya.

Menurutnya, golongan dewasa yang sihat tidak perlu bimbang dijangkiti Covid-19 selagi mengamalkan SOP yang ketat.

"Golongan ini ada imuniti yang lebih baik berbanding mereka yang berisiko. Jadi sementara menunggu untuk disuntik, amalkan SOP dalam setiap tingkah laku," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, untuk mencapai imuniti berkelompok, sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk perlu divaksinkan.

"Lebih baik jika peratusan tersebut melebihi 80 peratus kerana ini adalah pandemik, tetapi kita tahu ada beberapa golongan yang tidak akan divaksinkan.

"Contohnya kanak-kanak, mereka yang menghadapi penyakit kronik seperti kanser tahap tiga dan empat dan individu yang mempunyai alergik," katanya.

Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan bermula Februari depan yang bakal menyaksikan satu juta rakyat iaitu golongan barisan hadapan akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19.

Kerajaan akan menerima 6.2 juta lagi vaksin daripada Pfizer pada April dan Mei yang akan disuntik terhadap golongan rentan.

Ia beri secara percuma untuk mencapai 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu bagi membentuk imuniti berkelompok.