AMK bimbang RMK12 terkubur kerana darurat

Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) bimbang pelaksanaan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula 11 Januari hingga 1 Ogos ini akan memberi suatu malapetaka baharu terhadap ekonomi negara.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tatkala pelabur sudah mula melihat negara jiran sebagai pilihan untuk mengembangkan perniagaan mereka, kini Malaysia sekali lagi berhadapan dengan kemungkinan terkuburnya Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang perlu dibentang pada Januari ini.

Beliau berkata, terdahulu RMK12 yang sepatutnya dibentangkan pada 6 Ogos tahun lalu ditunda kepada Januari ini dengan alasan bagi membolehkan ia dikaji semula susulan kesan ekonomi dunia akibat penularan wabak Covid-19.

Sedangkan dakwanya, antara punca penangguhan itu sebenarnya disebabkan berlakunya pertukaran kerajaan akibat pengkhianatan ketika Langkah Sheraton yang lalu.

"Rancangan Malaysia merupakan suatu pelan jangka sederhana bagi tempoh lima tahun yang menetapkan sasaran perkembangan makroekonomi serta peruntukan pembangunan negara yang akan memacu ekonomi Malaysia keluar daripada belenggu ketidaktentuan ekonomi hari ini.

"Namun dengan melihat kepada kenyataan Perdana Menteri terkait hal darurat bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bersidang, ini akan menimbulkan persoalan berkenaan pembentangan RMK12 serta sejauh mana hala tuju perancangan ekonomi mampan dapat direncanakan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pembentangan itu amat penting dan menjadi tumpuan utama yang perlu diberi penekanan oleh Malaysia.

Menurutnya, pembangunan ekonomi tidak lagi boleh dilaksanakan sebagaimana biasa jika ekonomi Malaysia ingin dilihat berdaya saing dan inklusif dalam tempoh lima tahun lagi yang sudah pastinya sangat kritikal.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, suatu rencana ekonomi yang utuh perlu dibentangkan segera di Parlimen melalui RMK12.

"Melihat kenyataan bahawa Parlimen tidak akan bersidang sepanjang tempoh darurat dilaksanakan, sudah pastinya pembentangan RMK12 akan sekali lagi ditangguh.

"Ini akan memberi suatu cerminan kepada rakyat serta pelabur luar bahawa tiada suatu perancangan sistematik dan tuntas dalam mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang sepatutnya," katanya.