Pemuda UMNO Negeri Sembilan gesa kerajaan tingkat kemudahan digital

MOHD ZAIDY
MOHD ZAIDY
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda UMNO Negeri Sembilan menggesa kerajaan supaya mempertingkat kemudahan digital secara agresif di seluruh negara.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, pembangunan kemudahan akses Internet perlu mendapat perhatian segera supaya setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik secara saksama dalam era norma baharu ini.

Menurutnya, kerajaan juga harus mengambil tindakan segera untuk memastikan setiap pelajar mempunyai komputer untuk membolehkan mereka menghadiri pembelajaran secara maya.

"Bukan semua pelajar sekolah datangnya dari keluarga yang serba mampu. Mampu bukan sahaja daripada akses Internet, tetapi juga peralatan komputer yang membolehkan mereka menghadiri kelas pembelajaran tanpa terlepas satu sesi sekali pun terutama yang tinggal luar bandar.

"Menerusi data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sendiri, kira-kira 1.7 juta pelajar di seluruh negara tidak mempunyai peralatan komputer yang sesuai. Lebih membimbangkan kebanyakan mereka ini adalah dalam kalangan keluarga tergolong B40," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, kerajaan dicadang bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya semua pihak dapat membantu memastikan setiap pelajar memiliki sebuah komputer.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha Kementerian Pendidkan Malaysia (KPM) yang memperkenalkan sistem e-book menerusi kerjasama dengan Perbadanan Kota Buku.

"Bagaimanapun usaha ini hanyalah menjadi indah khabar dari rupa sekiranya masih ramai pelajar tidak mempunyai akses kepada internet dan kemudahan komputer yang sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun isu jurang digital dan kekurangan kemudahan komputer dalam kalangan pelajar sekolah telah berbulan dibangkitkan sejak awal tahun lalu, namun hingga hari ini tidak ada usaha secara agresif daripada kerajaan Persekutuan lebih-lebih lagi daripada kementerian terlibat," katanya.