Pauh Lekor kongsi pendapatan bersama ejen hadapi PKP 2.0

Antara produk yang dikeluarkan syarikat Pauh Lekor.
Antara produk yang dikeluarkan syarikat Pauh Lekor.
A
A
A

PERMATANG PAUH - [DIKEMASKINI] Pendapatan merosot hampir 80 peratus akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu memberi pengajaran buat pemilik perniagaan Pauh Lekor, Zamri Sulaiman.

Menganggap ujian berkenaan sebagai lumrah berniaga, usahawan kelahiran Kulim, Kedah itu bertekad untuk bangkit semula terutama ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Zamri yang telah mengusahakan perniagaan keropok lekor sejak 2005 mengakui perniagaannya sangat terkesan dengan situasi semasa dan dia perlu mencari jalan menukar strategi perniagaan untuk kekal bertahan demi kelangsungan kehidupan.

"Alhamdulillah, ujian ketika PKP tahun lalu banyak mengajar saya untuk lebih kreatif dan memanfaatkan teknologi dalam mengembangkan perniagaan.

"Jika PKP tahun lalu perniagaan kami agak terjejas berikutan banyak pelanggan tetap yang terdiri daripada pengusaha kantin sekolah dan kilang serta peniaga tepi jalan tidak dapat menjalankan perniagaan, namun PKP 2.0 kali ini, kami lebih bersedia dengan strategi perniagaan dan pemasaran baharu," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Zamri Sulaiman
Zamri Sulaiman

Usahawan berusia 48 tahun itu berkata, konsep perniagaan berkongsi pendapatan bersama ejen yang diguna pakai ketika ini dilihat dapat memasarkan produk yang dihasilkan syarikatnya dengan lebih meluas lagi.

Katanya, jika dahulu, produk yang dijual hanya menumpukan pelanggan di sekitar kawasan utara, namun kini produk keropok lekor di bawah jenama Pauh Lekor telah menembusi pasaran seluruh negara selain boleh didapati melalui platfom e-dagang tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat dengan strategi perniagaan baharu yang kami lakukan menyebabkan permintaan semakin tinggi walaupun kita kini sedang berdepan PKP 2.0.

"Dengan semangat ini, pastinya kami perlu bekerja lebih kuat dalam menghasilkan produk berkualiti sesuai dengan visi syarikat iaitu kelazatan keutamaan kami," katanya.

Pekerja Pauh Lekor sedang menyiapkan tempahan.
Pekerja Pauh Lekor sedang menyiapkan tempahan.

Zamri berkata, Pauh Lekor bukan hanya mengeluarkan produk keropok lekor tradisional malah pihaknya telah menginovasikan produk makanan itu dengan lebih kreatif sesuai dengan citarasa ramai masa kini.

Menurutnya, antara produk yang mendapat permintaan tinggi ketika ini ialah lekor chips yang didatangkan dengan empat pilihan variasi seperti perisa asli, BBQ, keju dan telur masin.

Selain itu, Pauh Lekor turut mengeluarkan produk sos botol dan dodol dapur kayu yang dihasilkan dengan resipi warisan termasuk berperisa durian.

Pauh Lekor kini mendapat permintaan tinggi walaupun negara kini sedang berdepan dengan PKP.
Pauh Lekor kini mendapat permintaan tinggi walaupun negara kini sedang berdepan dengan PKP.

"Kita tahu ramai yang hilang pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 dan kami ingin berkongsi pendapatan dengan mereka hanya dengan menjadi ejen jualan kami," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mengetahui cara menjadi agen Pauh Lekor boleh terus menghubungi Zamri di talian 012-4772584 atau melayari Facebook Pauh Lekor.