3 cendol durian RM114: 'Terima kasih tolong promosi'

Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25, menunjukkan menu paling istimewa di Raja Cendol Taming Sari, cendol durian musang king. Gambar kanan: Tular di media sosial mengenai harga tiga mangkuk cendol durian musang king yang dikatakan mencecah RM114 sejak semalam.
Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25, menunjukkan menu paling istimewa di Raja Cendol Taming Sari, cendol durian musang king. Gambar kanan: Tular di media sosial mengenai harga tiga mangkuk cendol durian musang king yang dikatakan mencecah RM114 sejak semalam.
A
A
A

MELAKA - Pemilik Raja Cendol Taming Sari tetap mempertahankan harga cendol di premisnya meskipun menyedari ia didakwa mahal sehingga menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri, 25, berkata, insiden yang berlaku ini sesuatu yang positif dan harga yang ditetapkan adalah berpatutan.

“Saya tidak tahu apa niat individu terbabit tetapi saya berterima kasih kerana tindakan itu secara tidak langsung boleh mempromosikan lagi kedai saya," kata anak muda itu.

Menurut Muhammad Ariff Qayyum sejak perniagaannya dibuka kira-kira 19 bulan lalu harga yang dikenakan masih sama antara RM17 hingga RM38.

“Kepada pelanggan yang sudah biasa dengan harga durian mereka tidak akan pertikaikan lagi paras harga yang sudah ditetapkan kerana mereka faham.

“Harga cendol kami ditentukan berdasarkan jenis durian yang disediakan iaitu Musang King, Udang Merah, D24 dan D101. Malah, durian dalam setiap hidangan cendol sudah ditimbang antara 120 hingga 150 gram bagi setiap hidangan demi memastikan kepuasan pelanggan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga ada menampal tanda harga di dalam dan luar kedai bagi memudahkan pelanggan mengetahui kadar harga ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Jaiya Abu ketika dihubungi memaklumkan pihaknya turut menerima aduan berhubung harga tiga mangkuk cendol durian musang king yang dikatakan mencecah RM114.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepasukan anggota penguatkuasa telah pun dihantar bagi melakukan memeriksaan terhadap premis itu dan mendapati perniaga terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagi saya tiada isu di sini, malah peniaga terbabit sudahpun menyatakan kadar harga bagi jenis cendol yang dijual dan terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih cendol yang mana mengikut kemampuan masing-masing.

“Lagipun, pihak kami dimaklumkan harga berkenaan sudah dikenakan sejak 2017 lagi,” katanya.