Polis Melaka tumpas geng curi tabung ekzos

Afzanizar (tengah) menunjukkan barang rampasan antaranya tabung ekzos kenderaan jenis kontinental yang menjadi sasaran kumpulan sindiket curi ekzos kenderaan untuk menghasilkan emas putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada Jumaat. - Foto Bernama
Afzanizar (tengah) menunjukkan barang rampasan antaranya tabung ekzos kenderaan jenis kontinental yang menjadi sasaran kumpulan sindiket curi ekzos kenderaan untuk menghasilkan emas putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri tabung ekzos kenderaan di sekitar daerah Melaka Tengah tumpas selepas polis memberkas ketua kumpulan itu yang digelar 'adik.'

Suspek berusia 33 tahun dan tidak bekerja itu ditahan bersama seorang lagi rakan lelaki dan teman wanitanya berusia 29 tahun di Johor pada 5 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Assisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, susulan penahanan tiga suspek itu oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Melaka Tengah kemudiannya telah memberkas tiga lagi suspek lelaki dalam tempoh kurang daripada 24 jam di Merlimau dan Jasin.

Menurutnya, seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai orang tengah bagi menjual ekzos itu turut dicekup di Tanjung Kling pada keesokannya manakala seorang pembeli lelaki ditahan di Klang, Selangor.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada empat lagi penahanan suspek lelaki di Johor dan menjadikan jumlah keseluruhan 11 orang termasuk wanita sejak 5 hingga 13 Januari lalu.

"Modus operandi geng ini adalah mencuri kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria, Mercedes Benz dan jenis kontinental yang diletakkan di tempat sunyi.

"Mereka dipercayai menjual ekzos itu sebelum dihantar ke luar negara untuk diproses menjadi emas putih dengan harga di antara RM1,000 hingga RM1,200 bagi satu ekzos," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian ekzos dan peralatan yang digunakan untuk mencuri oleh kumpulan terbabit.
Sebahagian ekzos dan peralatan yang digunakan untuk mencuri oleh kumpulan terbabit.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, tangkapan kesemua suspek berjaya menyelesaikan 11 kes yang dilaporkan sejak November tahun lalu.

"Hasil pendapatan daripada menjual ekzos itu digunakan suspek untuk membeli dadah dan kita turut merampas tabung-tabung ekzos yang dicuri dengan nilai keseluruhan RM30,000 dan dua buah kenderaan dipercayai digunakan bagi kegiatan tersebut," katanya.

Kesemua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan.