X

Kindly register in order to view this article
!

Bomba cari mangsa hanyut di perangkap sampah

Azmi meninjau lokasi mangsa dipercayai terjatuh selepas terbabas sebelum dihanyutkan arus longkang dalam kejadian pada petang Khamis.
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penunggang motosikal yang dihanyutkan arus longkang pada Khamis memfokus di dua perangkap sampah berhampiran kawasan kejadian di Lebuh Persiaran Klebang 11, Chemor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Azmi Osman berkata, operasi ditumpukan pada dua perangkap sampah yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Menurutnya, anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah digerakkan untuk mencari mangsa di kawasan longkang sehingga Sungai Klebang berhampiran.

“Kita turut meminta bantuan dari Unit Anjing Pengesan (K9), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lumpur untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua hari ini.

“Operasi tertumpu di lokasi dua perangkap sampah sungai selain melakukan kaedah pemunggahan semak di sepanjang tebing sungai bagi mencari mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang Khamis, mangsa, Ahmad Amin Ismail, 58, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego S dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang.

A Asmadi (kanan) bertemu dengan keluarga mangsa yang berada di pos kawalan tempat kejadian pada Jumaat.
A Asmadi (kanan) bertemu dengan keluarga mangsa yang berada di pos kawalan tempat kejadian pada Jumaat.

Beliau berkata, anggota dari BBP Pasir Puteh pula diarahkan untuk melakukan pencarian bermula di Sungai Kinta sejauh lima kilometer.

“Setakat ini, kita belum dapat apa-apa petunjuk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, berdasarkan maklumat awam, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan arus air deras di lokasi tersebut.

“Usaha SAR melibatkan 60 pegawai dan anggota dari polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rukun Tetangga dan Unit Amal dilakukan sepanjang aliran longkang membawa ke sungai berhampiran.

“Keluarga mangsa telah dimaklumkan dan turut berada di tempat kejadian. Usaha-usaha SAR masih diteruskan ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Penunggang motosikal hanyut dalam longkang


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!