Kontraktor projek 'sakit' berdepan tindakan tegas!

Saifuddin Abdullah
A
A

KUANTAN - Majlis Tindakan Negeri akan mengenakan tidakan tegas termasuk menamatkan tender kontraktor bermasalah bakal dilaksanakan dalam usaha menyelesai dan mengurangkan jumlah projek 'sakit' di Pahang.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Pahang Datuk Saifuddin Abdullah berkata projek yang sebahagian besar permasalahan itu berlaku disebabkan menggunakan sistem lama yang dilakukan secara rundingan terus.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama majlis itu hari ini demi mengelakkan peningkatan kos ekoran projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

“Kita tak boleh tamatkan projek bermasalah begitu sahaja namun kita akan kurangkan jumlah projek bermasalah namun langkah-langkah yang kita ambil masih terlalu awal namun beberapa idea telah dilontarkan dalam mesyuarat tersebut.

“Kita akan bertindak segera dan cepat serta tegas sebab kalau projek itu (projek terbengkalai) dibiarkan terlalu lama, perbelanjaan tetap berjalan dan selepas ini untuk projek seterusnya kita akan lebih tegas supaya kelewatan projek dapat diatasi,”katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, bagi pelan ketiga RMK11, Pahang mencatatkan pencapaian perbelanjaan RM1.776 bilion dibelanjakan daripada RM1.875 bilion peruntukan dan bagi pelan keempat masih dalam semakan terakir oleh Unit Perancang Ekonomi.

Menurutnya, sebanyak 53 projek yang masih dalam Fasa Perancangan manakala 267 projek dalam fasa pelaksanaan dan 117 projek telah berjaya disiapkan di bawah RMK ke-11.

Sementara itu, ditanya berkenaan dakwaan rombakan kabinet yang tersebar di media sosial sejak minggu lalu, Saifuddin yang merupakan Ketua Sekretariat PH berkata penyebaran berita mengenai perkara itu adalah tidak benar dan hanya khabar angin semata-mata.

"Tidak ada (rombakan Kabinet) dan Majlis Presiden PH pun tidak pernah berbincang mengenai perkara ini.

"Oleh itu, saya rasa ia sekadar khabar angin... setahu saya, perkara itu tidak ada dibincangkan oleh Majlis Presiden," katanya.