X

Kindly register in order to view this article
!

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sudah diwartakan

Kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah diwartakan dan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan pada Khamis (14 Januari 2021).

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, tiada perincian dinyatakan berhubung jawatankuasa itu termasuk keahliannya.

Selain itu, juga dijelaskan peruntukan ordinan berkenaan mengatasi peruntukan undang-undang bertulis yang lain sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan di antara peruntukan ordinan dengan mana-mana undang-undang bertulis lain.

Ordinan itu juga memperuntukkan kuasa tambahan kepada angkatan tentera yang mana segala kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) kini turut diberikan kepada anggota tentera.

Berhubung kuasa eksekutif dan perundangan pula, perdana menteri dan jemaah menteri hendaklah terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan diberikan kuasa membuat undang-undang subsidiari, manakala menteri besar atau ketua menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meneruskan kuasa eksekutif dan membuat undang-undang di peringkat negeri.

Pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.

Bagi memerangi wabak Covid-19, dalam tempoh darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana individu yang diberi kuasa oleh Seri Paduka Baginda boleh melantik seseorang untuk mengeluarkan arahan bagi rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain itu, tiada tindakan guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil terhadap kerajaan atau penjawat awam yang melaksanakan tugas untuk mencegah dan membendung penularan pandemik Covid-19.

Ordinan itu juga menggariskan menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan atau prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Perincian ordinan itu boleh diakses menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara di http://www.federalgazette.agc.gov.my.

Istana Negara pada Selasa (12 Januari) telah mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Ancaman pandemik Covid-19 kini menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!