Awas! Polis tanpa uniform di lorong tikus

Shafien (kanan) melakukan tinjauan di SJR Bukit Yong, Pasir Puteh pada Jumaat.
Shafien (kanan) melakukan tinjauan di SJR Bukit Yong, Pasir Puteh pada Jumaat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan menempatkan anggotanya yang tidak beruniform di semua lorong-lorong tikus di jajahan ini bagi memastikan tiada 'pembolosan' berlaku menerusi aktiviti rentas negeri sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pasukan khas yang diketuai oleh seorang pegawai itu turut diwujudkan untuk melakukan sekatan di sepanjang lorong-lorong tikus terbabit bagi mengekang aktiviti rentas negeri.

"Kita sudah mengenal pasti semua laluan-laluan tikus itu.

"Selain itu, kita turut mendapat kerjasama dari Polis Terengganu menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut yang telah membuat Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu masuk ke negeri ini menerusi Besut," katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau SJR di Bukit Yong di sini pada Jumaat.

Shafien memeriksa surat yang dikemukakan oleh orang ramai ketika melalui SJR di Bukit Yong, Pasir Puteh pada Jumaat.
Shafien memeriksa surat yang dikemukakan oleh orang ramai ketika melalui SJR di Bukit Yong, Pasir Puteh pada Jumaat.

Menurutnya, orang ramai termasuk yang tinggal di kawasan sempadan negeri dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan tikus untuk merentas negeri sebaliknya polis sedia membantu sekiranya ada kecemasan dan keperluan mendesak namun perlu mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, Polis Kelantan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melanggar peraturan tersebut tanpa sebarang kompromi.

"Tahap pematuhan prosedur operasi standart (SOP) dalam kalangan rakyat negeri ini perlu diberi penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi nasihat saya patuhilah SOP bagi memastikan pandemik Covid-19 berjaya diputuskan," katanya.

Dalam pada itu, Shafien berkata, empat lokasi utama SJR masih lagi dikekalkan iaitu di hadapan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, dua di Gua Musang iaitu menghala ke Lojing serta Kuala Lipis dan Jeli.

"Perlu diingatkan mana-mana pihak yang berhasrat masuk ke negeri ini diwajibkan melakukan saringan Covid-19 terlebih dahulu sebagai syarat utama," katanya.