Peguam didakwa pecah amanah lebih RM1.37 juta

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM1.37 juta, lapan tahun lalu.

Zainal Fikri Ahmad, 57, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang ejen kepada Firma Tetuan Zainal & Badrol iaitu peguam yang diamanahkan wang untuk pembelian tanah milik Syarikat JKP Sdn Bhd berjumlah RM1,370,865.18 dan telah melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut di sini, antara 8 Januari dan 22 November 2013.

Dia dituduh menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 3 Mac ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Salem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: