X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan negeri bincang dengan polis isu penjaja di lampu isyarat

Seorang wanita sedang berniaga jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan negeri akan berbincang dengan Ketua Polis Negeri Sembilan berhubung isu larangan penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, aktiviti berniaga seperti itu sememangnya mengundang faktor keselamatan, namun dalam keadaan hari ini apabila kehidupan rakyat terjejas akibat Covid-19, ia mungkin boleh diberi kelonggaran.

"Kita akan minta Setiausaha Kerajaan Negeri berbincang dengan Ketua Polis Negeri Sembilan mengenai perkara ini. Saya melihat masyarakat dapat menerima konsep perniagaan sebegini, ia nampak berjaya dan semakin bertambah.

ARTIKEL BERKAITAN: Larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat

"Kalau dulu saya nampak peniaga jual buah mangga sahaja, tapi sekarang dah ada macam-macam. Saya takut nanti, kenderaan di lampu isyarat tak boleh gerak nanti sebab ramai peniaga," katanya.

Menurutnya, pihak polis mungkin boleh beri pertimbangan agar tidak membenarkan terlalu ramai yang berniaga pada satu-satu masa.

Katanya, konsep berniaga seperti itu bukan sahaja wujud di Negeri Sembilan bahkan turut berlaku di tempat lain juga.

"Jadi kita boleh berbincang dengan polis dalam tempoh ini (Covid-19) agar ada diberi sedikit kelonggaran kerana usaha itu nampak baik dan bersungguh-sungguh," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat di daerah Seremban diminta menghentikan kegiatan itu kerana ia merupakan satu kesalahan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kaedah 10A(1) LN 166/59 yang boleh dikenakan tindakan saman.

"Tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!