Anwar diminta bantu penduduk PD, bukan asyik berbalah isu politik

Megat Faris (kiri) semasa menerima surat lantikan daripada Ketua Biro NGO dan Belia Armada Nasional, Abqaree Fawwaz Abekan, pada Khamis.
Megat Faris (kiri) semasa menerima surat lantikan daripada Ketua Biro NGO dan Belia Armada Nasional, Abqaree Fawwaz Abekan, pada Khamis.
A
A
A

PORT DICKSON - Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta selalu turun ke kawasannya bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, bukannya terus berbalah dalam isu politik.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Cawangan Sirusa, Megat Muhammad Faris Megat Ismail berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau perlu memberi perhatian kepada peningkatan kes Covid-19 di Port Dickson.

"Anwar Ibrahim sepatutnya mengambil peluang ini untuk terus berada di kawasan dan bersama rakyat Port Dickson bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

"Bukannya terus berbalah dalam isu politik dan meminta supaya darurat dibatalkan. Ia tidak bagus untuk kerajaan terutama mereka yang bertugas di barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar hantar surat kepada semua MP rayu Agong batal darurat

Menurutnya, pengisytiharan darurat yang diumumkan kerajaan adalah tindakan tepat bagi membolehkan semua pihak memberi tumpuan kepada kawalan jangkitan Covid-19.

Tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa Biro NGO dan Belia Armada Nasional, dalam keadaan sekarang ini Anwar sepatutnya memikirkan keperluan rakyat berbanding kepentingan politik.

Katanya, sebagai anak jati Port Dickson, ramai yang mengatakan bahawa sukar untuk bertemu ahli Parlimen tersebut, memandangkan beliau tinggal di luar Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap dapat berjumpa ahli Parlimen selalu, kerana banyak isu dan masalah yang ingin dikongsikan bersama memandangkan pelaksanaan PKP banyak menjejaskan sumber pendapatan peniaga di pantai peranginan negara ini," katanya.