MU belum layak menang EPL

Cole menyifatkan United belum mampu julang trofi EPL musim ini.
Cole menyifatkan United belum mampu julang trofi EPL musim ini.
A
A
A

BEKAS pemain Manchester United, Andy Cole menyifatkan The Red Devils belum layak untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut Cole, dia tidak yakin skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu boleh diangkat sebagai calon juara walaupun United mampu bangkit daripada permulaan hambar untuk berada di puncak liga ketika ini.

Jelasnya, United tidak mempunyai keupayaan yang cukup di setiap posisi jika dibandingkan dengan pasukan gergasi lain seperti Manchester City dan Liverpool.

“Adakah United akan menang liga musim ini? Saya rasa tidak. Saya fikir untuk United berada di kedudukan teratas liga ketika ini sangat menakjubkan jika melihat kepada permulaan hambar mereka.

"Ketika itu, ramai yang mahu Ole dipecat dan sekarang dia membuktikan dia layak berada di posisi tersebut. Malah, pasukan juga berada pada tahap keyakinan yang tinggi.

"Namun, jika anda melihat kepada kedudukan liga dengan pasukan seperti City yang sudah menemui rentak, mereka juga mempunyai dua perlawanan dalam tangan dan akan berada di kelompok teratas jika menang kedua-dua perlawanan tersebut," katanya yang pernah menjulang kejuaraan treble bersama United pada 1998/1999.

Kemenangan ke atas Burnley pada Rabu menyaksikan United kini berada di puncak EPL dibezakan tiga mata dengan juara bertahan, Liverpool menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Anfield pada Isnin.

Dalam masa sama, Cole percaya bukan mudah untuk United cuba merapatkan jurang kualiti pasukan seperti dimiliki oleh Liverpool dan City dalam masa satu musim.

Artikel Berkaitan:

"Pemain United sedang berada pada tahap terbaik mereka, tetapi untuk membandingkan mereka dengan kualiti dimiliki Liverpool adalah sangat jauh.

"Tidak mustahil untuk mereka menjadi pencabar, tetapi untuk menang EPL adalah sangat sukar. Saya tidak rasa United bagus musim ini, tetapi kita boleh meletakkan harapan musim depan untuk mereka bergelar juara," katanya.