Geng curi motosikal 'Am Senu' dan 'Amat Katik' tumpas

Eng Lai (dua dari kanan) melihat motosikal yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sentul pada Jumaat.
Eng Lai (dua dari kanan) melihat motosikal yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Sentul pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan dua geng curi motosikal iaitu 'Am Senu' dan 'Amat Katik' dengan tertangkapnya 15 lelaki dalam serbuan secara berasingan sejak 25 Disember hingga 29 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan dua lelaki kerana disyaki cuba mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 di kawasan parkir sebuah kondominium di sini pada 25 Disember lalu.

"Hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan empat lagi ahli geng 'Am Senu' yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.

Eng Lai berkata, kumpulan terbabit menjalankan kegiatan terbabit dengan menyasarkan kawasan perumahan awam seperti pangsapuri dan kondominium.

"Susulan tangkapan ini, kita telah berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal yang membabitkan kumpulan ini," katanya.

Dalam kes berasingan, Eng Lai berkata, pihaknya berjaya memberkas sembilan ahli geng 'Amat Katik' berusia dalam lingkungan 26 hingga 45 tahun pada 29 Disember lalu.

"Kita merampas 10 motosikal, enam rangka motosikal dan sebuah enjin, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM40,000," katanya.

Menurutnya, kumpulan itu dikenal pasti mencuri motosikal di kawasan perumahan awam dan pusat membeli-belah selain mendapat permintaan daripada pembeli.

Artikel Berkaitan:

"Dengan tangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan 32 kes kecurian motosikal di kawasan Lembah Klang," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menggunakan kunci tambahan pada motosikal bagi mengelak menjadi mangsa kecurian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.