Tak perlu malu mengaku tahap akademik, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap akademik tidak menjadi ukuran bagi menentukan kredibiliti seorang pemimpin kerana ia bersifat subjektif, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata, soal kejujuran lebih penting dalam diri seseorang untuk menjadi pemimpin yang baik kepada masyarakat.

"Ada orang yang mendapat pengalaman dan hasil pengalaman itu mampu menjadikan dia manusia atau pemimpin yang baik.

"Ada mereka yang melalui proses akademik yang baik tapi gagal menangani proses kedudukan yang baik dan sebagainya," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kelayakan akademik bukan merupakan ukuran yang sempurna. "Kerana pentingnya soal kejujuran. Bukan soal jawatan apa, atau belajar di mana," katanya lagi.

Amiruddin mengulas berhubung isu kelayakan akademik yang dimainkan kini sebagai satu bentuk kelayakan untuk melantik pemimpin.

"Dalam soal itu, saya tidak melihat keperluan utama untuk menetapkan satu standard kelayakan akademik.

"Tahap ijazah, kedoktoran dan sebagainya pada saya ia terlalu subjektif dari sudut politik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mereka yang tidak belajar tinggi, kadang kala mampu mengurus dengan baik.

"Yang ada sijil yang besar mempunyai banyak Master. PhD sebagainya kadangkala membuat keputusan yang silap kerana ada sikap dan ada unsur-unsur lain," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berpendapat sebagai pemimpin, tidak perlu malu untuk mengaku tahap akademik masing-masing.

"Jika sekadar SPM, kata SPM. Saya tidak malu untuk mengaku saya hanya lulusan universiti tempatan, Universiti Putra Malaysia.

"apa yang penting rakyat bukan menilai kita berdasarkan sijil tapi apa yang kita buat dan cara kita berinteraksi, berurusan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, wujud kontroversi mengenai Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang didakwa mempunyai ijazah palsu.

Tidak hanya itu, pelbagai spekulasi timbul ekoran isu berkenaan dan terkini melibatkan suntingan yang dilakukan terhadap laman Wikipedianya.