'Saya anak penoreh, bukan sifat saya hina orang'

Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi tampil memohon maaf terhadap pihak yang terkilan dengan kenyataannya sebelum ini kerana beliau bukan seorang yang suka merendahkan orang lain.

"Ya benar saya minta maaf kepada pihak yang terkilan terhadap saya.

"Bukan perangai saya untuk rendahkan orang lain. Bererti itu bukan disengajakan," ciapnya di laman Twitternya pada malam Khamis.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, walaupun ada perbezaan ketika berbahas di Dewan Rakyat berbanding di luar namun beliau tetap tidak menghina sesiapa.

"Berbahas di #DewanRakyat itu lain. Pun saya tak pernah hina mereka," katanya sambil mengakui bahawa beliau dilahirkan dalam keluarga miskin.

"Saya dilahirkan dalam keluarga miskin, anak penoreh. Bukan sifat saya hina orang," katanya.

Pada Jumaat minggu lalu, Ahmad mendapat kecaman susulan kenyataannya dalam program wacana anjuran UMNO Tanjung Malim yang disiarkan secara langsung di laman Facebook UMNO Online.

Ahmad ketika itu merujuk temu bual stesen televisyen dengan seorang individu yang bekerja sebagai pemarut kelapa dan menerangkan sebab-sebab mengapa Pilihan Raya Umum (PRU) wajar diadakan segera.

Artikel Berkaitan:

“Rasanya yang memarut kelapa tadi tu, dia tidak perasan... yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah, harap dia sekolah tinggilah.

"Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD (ijazah kedoktoran), saya rasa tentu dia boleh mengulas dengan lebih tepat,” katanya.

Ahmad kemudiannya memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai hanya pemegang PhD yang memahami keperluan untuk mengadakan PRU secepat mungkin.

Menurut Ahmad, beliau tidak berniat menghina sesiapa kerana pemegang PhD dimaksudkan adalah merujuk kepada dua lagi panel dalam forum siaran langsung di Facebook UMNO Online itu.

“Saya maksudkan lulusan #UIA (Universiti Islam Antarabangsa) itu YB Zaidi (Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Mohd Zaidi Aziz), tangan saya tunjuk kepada beliau.

“Ada PhD itu Dr Baha (Profesor Madya Dr Baharuddin Aziz), tangan saya tunjuk kepada beliau pula. Dua ahli panel dalam forum. Contoh-contoh spesifik spontan tanpa niat menghina sesiapa, saya mohon maaf,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Selasa.