Erdogan disuntik vaksin Covid-19

Erdogan (tengah) menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Ankara pada Khamis. - Foto: www.news.cn
Erdogan (tengah) menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Ankara pada Khamis. - Foto: www.news.cn
A
A
A

ANKARA - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Khamis memperoleh suntikan vaksin koronavirus (Covid-19) di sebuah hospital di Ankara dengan diiringi beberapa pengawai keselamatan peribadinya.

Turki memperoleh bekalan vaksin Sinovac dari China yang sehingga kini terdapat banyak maklumat bercanggah mengenai keberkesanannya ketika negara yang mempunyai 83 juta penduduk itu mula menjalani proses vaksinasi.

Beliau juga mengeluarkan kenyataan tentang betapa pentingnya pegawai-pegawai menunjukkan contoh teladan dengan mendapatkan suntikan itu selepas sejam beliau berbuat demikian.

"Terdapat sebahagian orang yang melakukan kempen yang negatif (mengenai vaksinasi) tetapi saya berasa pasti pemikiran munasabah akan mengatasinya," kata Erdogan seperti dilaporkan oleh AFP.

Beliau berkata demikian ketika seorang doktor yang memakai pelitup muka menyuntiknya dengan vaksin tersebut.

"Saya percaya adalah penting bagi para pemimpin politik dan ahli majlis perundangan untuk menggalakkan vaksinasi," katanya kepada sekumpulan pemberita yang menunggu beliau memberikan kenyataan.

Satu tinjauan pendapat yang dilakukan pada November tahun lalu menunjukkan kira-kira separuh daripada penduduk Turki tidak bersedia untuk mengambil suntikan vaksin tersebut.

Beberapa pegawai kesihatan telah menguji tahap keselamatan vaksin itu selama dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Ujian itu dilakukan selepas 7,371 sukarelawan di Turki diberikan suntikan tersebut dan menunjukkan ia mempunyai tahap keberkesanannya 91.25 peratus.

Bagaimanapun, satu ujian yang lebih besar dilakukan di Brazil yang menunjukkan tahap keberkesanan vaksin tersebut ialah 50.4 peratus.

Di Indonesia pula, tahap keberkesanannya ialah 65.3 peratus sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang ketelusan pihak pengeluar vaksin itu.

Stesen televisyen Turki menyiarkan imej sejumlah pekerja kesihatan menerima suntikan itu ketika para pegawai Turki cuba untuk membangkitkan kesedaran tentang pentingnya vaksin berkenaan.

"Rakyat kita tidak sepatutnya berasa bimbang," kata Recep Demirhan iaitu seorang pakar perubatan di sebuah hospital di Istanbul kepada pemberita ketika beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama.

Tambahnya, semua vaksin Covid-19 yang tiba di Turki itu adalah selamat. - Agensi