Tubuh suruhanjaya lebih afdal berbanding Jawatankuasa Khas Bebas: Mujahid

Mujahid selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-225 bertajuk 'Darurat: Kerajaan Pilih Jalan Selamat?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Mujahid selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-225 bertajuk 'Darurat: Kerajaan Pilih Jalan Selamat?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu suruhanjaya yang lebih besar fungsinya berbanding Jawatankuasa Khas Bebas mengendali pelaksanaan darurat perlu ditubuhkan sebagai satu kerangka lebih tepat bagi ‘menyembuhkan’ Malaysia dalam segala aspek yang sedang berlaku.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, dua krisis utama negara iaitu pandemik Covid-19 dan krisis politik perlu diselesaikan menerusi suruhanjaya tersebut sebagai satu bentuk mekanisme mengembalikan demokrasi negara ke landasan yang betul.

Menurutnya, pembangkang tidak seharusnya dipersalahkan dan dijadikan bahan politik jika menolak penyertaan dalam Jawatankuasa Khas Bebas tersebut, sedangkan rentetan peristiwa sejak ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada kesan kepada negara ketika ini tidak diambil kira.

“Dari awal ‘Langkah Sheraton’ serta usaha mengkhianati mandat rakyat memberi kesan kepada apa yang berlaku sekarang. Penting untuk selesaikan dua krisis ini dengan betul-betul, jangan buat-buat terkejut, (kemudian) panggil duduk sekali dalam jawatankuasa.

“Kita tidak nafi ia perlu untuk masa depan negara tapi perlu ada mekanisme yang betul-betul mengembalikan demokrasi, selesaikan masalah negara dan mereka yang menjadi punca dipertanggungjawabkan. Barulah kita bercakap tentang perpaduan nasional.

“Soalnya adakah darurat itu dapat menyelesaikan (krisis) kerana ia tetap akan menjadi satu krisis. Kita perlu pendekatan yang lebih besar iaitu untuk menyembuhkan negara ini dengan melihat kepentingan semua pihak.

“Ia boleh dilakukan dengan benda paling mudah, panggil satu suruhanjaya untuk melihat semula masalah dari Februari 2020 itu sampai sekarang yang menyebabkan krisis politik hari ini. Bincang dengan jujur bagaimana untuk memperbetulkan balik demokrasi yang telah dilanggar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wacana Sinar Edisi Ke-225 bertajuk 'Darurat: Kerajaan Pilih Jalan Selamat?' disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Wacana Sinar Edisi Ke-225 bertajuk 'Darurat: Kerajaan Pilih Jalan Selamat?' disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-225 bertajuk 'Darurat: Kerajaan Pilih Jalan Selamat?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Program dikendalikan Ismail Adnan sebagai moderator itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias dan Pensyarah Undang-Undang UIAM, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Mujahid menjelaskan, komitmen ditunjukkan pembangkang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19 sudah jelas sejak awal lagi.

Namun yang dipersoalkan adalah tentang perlembagaan, adakah sah atau tidak kerajaan ini setelah Perdana Menteri gagal membuktikan majoritinya.

“Kita yakin kalau kerajaan yang ada, tak kisah siapa jadi kerajaan yang betul-betul mendapat mandat, betul-betul fokus kepada polisi, penguatkuasaan, serta normal baharu yang dilaung-laungkan, itu tak perlu nak minta darurat.

“Sudah cukup perkara tersebut dengan akta dan undang-undang yang ada, kita boleh tangani bersama dan pembangkang telah buktikan untuk tangani bersama dalam isu Covid-19,” katanya.