Covid-19: 67 peratus responden setuju vaksin berkesan

DR ADHAM
DR ADHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 67 peratus bersetuju bahawa vaksin Covid-19 berkesan untuk melindungi mereka daripada dijangkiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tinjauan yang dilakukan secara dalam talian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 21 hingga 28 Disember lalu telah disertai oleh 212,000 responden.

"Tinjauan KKM mendapati sebahagian besar rakyat negara ini bersetuju manakala yang tidak bersetuju hanya 16 peratus," katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, baki 17 peratus responden lagi menyatakan tidak pasti.

"Mereka risau kesan sampingan dan keberkesanan vaksin," katanya.

Beliau berkata, KKM akan membuat tinjauan dan kaji selidik dari masa ke masa untuk mendapatkan maklum balas peneriman rakyat.

"Setakat 13 Januari, kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia telah disuntik vaksin Covid-19. Ini menunjukkan vaksin ini diterima masyarakat dunia," katanya.

Dr Adham yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, KKM dijangka membuka pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19, pemberian vaksin dilaksanakan mengikut tiga fasa.

"Fasa pertama adalah barisan hadapan, fasa kedua adalah kumpulan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik dan warga emas berumur 60 tahun ke atas manakala orang awam berusia 18 tahun ke atas akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa ketiga," katanya.

Sejuta vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dijangka diterima Malaysia pada bulan hadapan dan disuntik bagi fasa pertama.

Ia kemudian diikuti fasa seterusnya sebanyak 6.2 juta vaksin pada April dan Mei.

Pemberian vaksin secara percuma itu bagi mencapai sasaran imuniti kelompok iaitu 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu.