Covid-19: Kuala Terengganu, Dungun kini zon merah

Infografik Covid-19 di lapan buah daerah di Terengganu. - Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu
Infografik Covid-19 di lapan buah daerah di Terengganu. - Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Daerah Kuala Terengganu dan Dungun kini berada di bawah zon merah berdasarkan rekod kes aktif Covid-19 tertinggi sehingga Khamis.

Kuala Terengganu merekodkan kes aktif Covid-19 sebanyak 92 kes diikuti Dungun (65), Besut (34), Kemaman (25), Marang (23), Kuala Nerus (16), Setiu (7) dan Hulu Terengganu (4).

Sebanyak 39 zon aktif membabitkan mukim Serada di Kuala Terengganu yang kini berada di bawah zon merah selepas merekodkan 61 kes dan mukim Rasau di Dungun (zon jingga) dengan 23 kes, manakala sebanyak 37 kawasan lain kini berada di bawah zon kuning.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam kenyataan berkata, sehingga Khamis negeri ini merekodkan pertambahan 20 kes sembuh dan 89 kes baharu Covid-19 (12 kes adalah import B, 1 import C dan 76 kes penularan tempatan) menjadikan terdapat 266 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 661 kes.

Perkembangan Covid-19 berdasarkan kawasan mukim di Terengganu. - Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu
Perkembangan Covid-19 berdasarkan kawasan mukim di Terengganu. - Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 264 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu (HHT), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu, manakala dua kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ dengan satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Pertambahan 89 kes baharu pada Khamis adalah yang tertinggi. Kebanyakan kes membabitkan Kluster Kubang Bujuk dan Kluster Kejaya," katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, 43 kes aktif dikesan adalah daripada Kluster Kubang Bujuk melalui saringan kontak manakala 16 kes merupakan kes Kluster Kejaya yang dikesan melalui aktiviti saringan kontak membabitkan mukim Rasau, Hulu Paka dan mukim Sura.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, sebanyak 130 kes import B (rentas negeri) di Terengganu mengakibatkan 59 kes penularan tempatan selain terdapat 68 kes penularan tempatan disebabkan pendedahan kepada kes positif negeri luar yang datang ke negeri ini.

"Bagi membendung penularan tempatan dan menjaga zon hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan. Arahan untuk tindakan seterusnya bergantung kepada hasil penilaian tersebut," katanya.