Bantu sektor swasta bertahan

Kerajaan diharap dapat menawarkan semula PSU bagi membantu majikan terus bertahan susulan penguatkuasaan PKP 2.0 bermula Rabu lalu. - Gambar kecil: Shamsuddin
Kerajaan diharap dapat menawarkan semula PSU bagi membantu majikan terus bertahan susulan penguatkuasaan PKP 2.0 bermula Rabu lalu. - Gambar kecil: Shamsuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memohon kerajaan untuk membuka semula Program Subsidi Upah (PSU) dan moratorium kepada semua sektor ekonomi.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pelaksanaan semula program tersebut dijangka mampu membantu sektor swasta untuk terus bertahan dan mengurangkan kadar pembuangan pekerja secara besar-besaran.

“Saya merasakan bahawa ini bukan untuk majikan semata-mata, tetapi untuk menolong majikan agar tidak membuang pekerja. Jadi ini juga menolong kerajaan untuk mempelbagaikan pasaran buruh sebenarnya.

“Bermakna kerajaan perlu memberikan kira-kira RM15 bilion lagi untuk tujuan program ini kerana dijangkakan keadaan ekonomi yang tidak begitu menentu ini akan terus berlaku sehingga pertengahan tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Shamsuddin turut menyarankan pemberian moratorium dilakukan secara menyeluruh bukan secara bersasar seperti yang dilakukan sekarang.

Jelasnya, cadangan ini penting berikutan para majikan mengalami masalah aliran tunai pada masa ini.

Selain itu, ketika ditanya mengenai masalah yang dihadapi majikan ekoran pelaksanaan PKP 2.0, beliau berkata, sesetengah perniagaan berhadapan dengan masalah sekatan perjalanan kerana tidak didaftarkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Masih ada kekeliruan tentang syarikat-syarikat jenis perniagaan yang boleh beroperasi pada masa kini.

Artikel Berkaitan:

“Dan sekatan jalan, kita juga menghadapi masalah kerana sesetengah perniagaan itu tidak didaftarkan di MITI.

“Mereka tidak mempunyai surat kebenaran MITI dan ini sebenarnya mendatangkan masalah kepada kakitangan yang ingin ke pejabat untuk bekerja,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Isnin mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bagi enam negeri untuk tempoh 14 hari mulai 13 Januari hingga 26 Januari.

Kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi yang perlu beroperasi sewaktu PKP iaitu sektor pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.