Darurat patut jadi tempoh berdamai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMUA ahli politik perlu berdamai dalam tempoh pelaksanaan proklamasi darurat yang bermula 11 Januari hingga 1 Ogos ini bagi memastikan usaha mengawal Covid-19 berjalan lancar.

Walaupun dua ahli Parlimen UMNO iaitu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menarik sokongan terhadap kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun isu utama sekarang adalah mengawal Covid-19.

Apa yang wajar dilakukan oleh semua ahli politik ketika ini adalah memastikan rakyat dan pengundi di kawasan masing-masing mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebarang tindakan provokasi dan mengajak rakyat untuk kerajaan segera berundur dan membubarkan Parlimen tidak wajar dilakukan.

Ini kerana disebabkan sehingga kini tiada gabungan parti yang mempunyai majoriti yang jelas, pilihan raya adalah jalan terakhir untuk menstabilkan kembali politik di negara ini.

Semua parti politik wajar menunggu kes Covid-19 terkawal sekurang-kurangnya kembali dua angka dan ketika itu barulah mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) berundur.

Tempoh berdamai ini perlu digunakan semua parti politik, untuk memperkuatkan akar umbi dan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jentera parti perlu dipersiapkan termasuk dalam aspek cara berkempen yang lebih efisien ketika pandemik Covid-19 dan juga cara bagaimana untuk memastikan pengundi mengenali calon tanpa perlu berkempen rumah ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Pimpinan tertinggi parti juga dalam tempoh ini perlu mengenalpasti calon PRU15 lebih awal supaya dapat memberi peluang awal kepada calon tersebut fokus kepada kawasan yang akan ditandingi nanti.

Bagi parti pemerintah, tugas utama mereka selain mempersiapkan jentera parti, adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan bantuan kepada rakyat disalurkan dengan sempurna.

Parti dalam PN jangan terlalu fokus kepada persiapan PRU15 kerana selaku parti pemerintah tugas utama adalah mengawal jangkitan Covid-19 bagi membolehkan pilihan raya dilaksanakan.