Galeri warisan Rundingan Baling makin terbiar

Bangunan Galeri Putera di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera yang menjadi lokasi Rundingan Baling pada 1955.
Bangunan Galeri Putera di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera yang menjadi lokasi Rundingan Baling pada 1955.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] BALING - Bangunan Galeri Putera yang menjadi saksi sejarah Rundingan Baling pada tahun 1955 antara Kerajaan Perikatan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) terus terabai dan semakin usang.

Lebih menyedihkan galeri yang menempatkan ruang pameran peralatan sejarah serta bilik rehat pemimpin PKM, Chin Peng dan Rashid Maidin kelihatan sangat daif walaupun Sinar Harian pernah mendedahkan kerosakan tempat warisan itu sejak hampir tiga tahun lalu.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, beliau sendiri telah membangkitkan isu sama semasa mengunjungi galeri tersebut yang terletak di salah satu bangunan Sekolah Kebangsaan Tunku Putera, Baling dan telah disiarkan Sinar Harian pada 11 September 2018.

Bilik mesyuarat Rundingan Baling yang kini dijadikan bilik darjah.
Bilik mesyuarat Rundingan Baling yang kini dijadikan bilik darjah.

Menurutnya, isu sama mula ‘hangat’ diperbincangkan sejak beberapa hari lalu setelah tular di media sosial mengenai kerosakan sebenar yang dialami sehingga mencetuskan pelbagai persepsi ramai.

“Kami nak sangat ada pihak ambil peranan baik pulih premis yang rosak memandangkan ia adalah warisan sejarah yang setiap orang perlu tahu apa yang dilalui sebelum merdeka,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati premis terbabit ditutup kepada kunjungan awam.

Artikel Berkaitan:

Bilik Rundingan Baling 1955 masih kekal terpelihara yang kini dijadikan kelas muzik di SK Tunku Putra.
Bilik Rundingan Baling 1955 masih kekal terpelihara yang kini dijadikan kelas muzik di SK Tunku Putra.

Berdasarkan tinjauan itu, galeri tersebut rosak teruk dengan tingkapnya pecah dan bumbung bocor dikatakan akibat ditimpa pokok selain bahan-bahan sejarah yang tidak terurus.

Keadaan itu turut mendapat perhatian bekas tukang kebun sekolah, Jaafar Ismail, 94, yang terlibat secara langsung dalam proses Rundingan Baling 1955.

Jaafar adalah individu yang diberi tanggungjawab menyediakan tempat tidur Setiausaha Agung PKM, Chin Peng, Rashid dan Chien Tien yang hadir menyertai Rundingan Baling bersama Tunku Abdul Rahman Putra, David Marshall dan Tun Tan Cheng Lock, pada 28 dan 29 Disember 1955.

Jaafar yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Lang’ bagaimanapun sedih melihat keadaan galeri yang usang biarpun kerosakan telah diketahui kira-kira lima tahun lalu.

“Kena perbaikilah. Dah berapa kali saya datang, sampai ke hari ini duk macam tu jugak. Sama juga pokok-pokok belakang tu kena tebang, mana tau suatu hari nanti tumbang lagi sehingga menyebabkan galeri rosak lagi teruk.

“Saya harap sangat ia dibaiki supaya anak cucu kita tahu tentang sejarah ini,” jelasnya.

Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut hadir membuat tinjauan setelah isu itu tular di media sosial.
Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut hadir membuat tinjauan setelah isu itu tular di media sosial.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, tiada sesiapa yang harus dipersalahkan apabila isu Galeri Putera yang usang menjadi tular di media sosial, namun apa yang lebih penting aset sejarah bernilai itu perlu dijaga dan diangkat menjadi produk pelancongan di daerah Baling.

“Kita berhasrat semua pihak boleh bertemu untuk sama-sama berunding mencari penyelesaian.

“Isu viral tak payah salah-menyalah, perbaiki di mana kesilapan. Yang lebih penting, aset sejarah bernilai dipulihara untuk menjadi tatapan generasi muda sekali gus merancakkan kembali pelancongan,” katanya.

INFO GALERI PUTERA

Galeri Putera ialah lokasi di mana Chin Peng serta rombongan bermalam semasa Rundingan Baling.

Galeri Putera terletak di bangunan berhampiran dengan bilik Rundingan Baling, diwujudkan atas inisiatif pihak sekolah pada tahun 2001 atas tujuan pembelajaran murid.

Kerosakan berlaku adalah di Galeri Putera diakibatkan oleh rempuhan pokok tumbang.

Keadaan bilik tidur Chin Peng di Galeri Putera, Baling.
Keadaan bilik tidur Chin Peng di Galeri Putera, Baling.

Tingkap Galeri Putera yang pecah masih tidak dibaiki.
Tingkap Galeri Putera yang pecah masih tidak dibaiki.

Galeri Putera ditubuhkan pada 1 Mei 2001 bersamaan dengan 7 Safar 1422, atas inisiatif pihak sekolah.

Ia dinamakan Galeri Putera bersempena nama Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan penggerak utama Rundingan Baling dan ketua perunding bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.