Sekutu baharu Al-Qaeda di rantau Sahel bimbangkan Perancis

Tentera Mali berhadapan dengan tentangan daripada Kumpulan Untuk Menyokong Islam dan Muslim yang semakin kuat di negara itu. - Foto AFP
Tentera Mali berhadapan dengan tentangan daripada Kumpulan Untuk Menyokong Islam dan Muslim yang semakin kuat di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Sebuah kumpulan militan yang menggelarkan diri mereka Kumpulan Untuk Menyokong Islam dan Muslim (GSIM) yang mempunyai hubungan rapat dengan Al-Qaeda dilaporkan semakin berpengaruh di rantau Sahel iaitu kawasan yang terletak dari utara Sahara hingga ke Sudan di bahagian selatan.

Ia didakwa sebagai musuh kepada kumpulan Negara Islam di Sahara Besar (ISGS).

Kumpulan tersebut juga didakwa telah mengaku membunuh lima askar yang menjalankan operasi ketenteraan Barkhane diketuai oleh Perancis di Mali baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan kumpulan itu yang dikeluarkan oleh platform medianya, Al-Zallaqa pada 4 Januari lalu, GSIM telah meletupkan satu bahan letupan ketika sebuah kenderaan sedang bergerak di Mali menyebabkan lima askar Perancis terbunuh.

Angka kematian itu meningkatkan jumlah askar Perancis yang terbunuh di negara-negara Afrika Barat kepada 50 orang sejak Perancis campur tangan bagi membantu menghapuskan kumpulan-kumpulan bersenjata sejak tahun 2013.

Tentera Perancis ditempatkan di rantau Sahel bagi menangani kumpulan-kumpulan bersenjata di negara-negara yang pernah dijajahnya di Afrika sejak tahun 2013. - Foto AFP
Tentera Perancis ditempatkan di rantau Sahel bagi menangani kumpulan-kumpulan bersenjata di negara-negara yang pernah dijajahnya di Afrika sejak tahun 2013. - Foto AFP

Seorang pegawai Perancis yang berpangkat tinggi memberitahu AFP dan tidak mahu identitinya didedahkan berkata, pengaruh kumpulan GSIM dan kekuasaannya berkembang sejak beberapa bulan lalu dan struktur organisasinya serta pendekatan pertempurannya lebih teratur.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu didapati berbeza kira-kira setahun lalu apabila Perancis dan pasukan tentera Sahel G5 yang dianggotai Mauritania, Mali, Niger, Chad dan Burkino Faso menamakan ISGS dan bukan GSIM sebagai musuh nombor satu mereka.

Pada November tahun lalu, seorang komander tentera Perancis dalam operasi Barkhane, Jeneral Marc Conruyt dilaporkan pernah memberitahu bahawa musuh utama dalam operasi Barkhane di rantau Sahel ialah GSIM.

Operasi Barkhane itu terdiri daripada 5,100 askar Perancis dan ia memperoleh beberapa kemenangan besar ketika bekerjasama dengan negara-negara di Afrika Barat bagi menentang kumpulan ISGS di wilayah sempadan antara Mali, Burkina Faso dan Niger.

Kumpulan GSIM itu ditubuhkan pada Mac 2017 selepas beberapa organisasi paling berkuasa di Sahel antaranya ialah Al-Qaeda di Islamik Maghrib (AQIM), Ansar al-Din, Al-Mourabitoun dan Katibat Macina bersatu di bawah kepimpinan Iyad Ag Ghali.

Iyad yang juga dikenali dengan nama Abu al-Faul adalah daripada etnik Tuareg dan berasal dari Mali dan aktif dalam perjuangan menentang kerajaan Mali sejak tahun 1980an.

Menurut Profesor Madya Djallil Lounnas di Kajian Antarabangsa, Universiti Akhawayn, Maghribi dalam bukunya, berjudul Transmutasi Organisasi Jihad Di Sahel dan Arkitek Keselamatan Serantau, penyatuan kumpulan tersebut melahirkan salah satu sekutu Al-Qaeda paling berkuasa di rantau tersebut.

Penubuhan GSIM itu, katanya, adalah berbahaya berdasarkan pandangan bahawa sistem sub-wilayah Sahel mengandungi negara-negara yang lemah dan tidak mampu untuk menghapuskan ancaman kumpulan-kumpulan jihad.

Beliau dilaporkan berkata, rantau Sahel dari segi geografinya mempunyai kaitan dengan Libya sekali gus dianggap syurga buat organisasi jihad.

Peta menunjukkan lokasi rantau Sahel yang merentangi beberapa buah negara di benua Afrika.
Peta menunjukkan lokasi rantau Sahel yang merentangi beberapa buah negara di benua Afrika.

Libya kini masih lagi tidak stabil dan didakwa mempunyai dua buah kerajaan serta terlibat dalam peperangan melibatkan kumpulan-kumpulan bersenjata sejak Allahyarham Muammar Gaddafi dibunuh dan digulingkan sebagai pemimpin pada tahun 2011 kesan daripada kebangkitan Arab Spring.

Menurut Pusat Afrika Mengenai Kajian Strategik yang memetik beberapa pakar menyatakan kumpulan-kumpulan bersekutu dengan GSIM memperoleh pendapatan antara AS$18 juta (RM72.71 juta) dan AS$35 juta (RM141.38 juta) setiap tahun.

Pendapatan itu diperoleh kebanyakannya melalui peras ugut di jalan-jalan transit yang berada di bawah kawalan mereka, penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan perlombongan.

Kumpulan GSIM dikatakan mengambil peluang untuk membina kekuatan ketika Perancis memfokuskan usaha untuk menghapuskan ISGS dan menurut portal Majlis Hubungan Asing Eropah penubuhannya adalah untuk melaksanakan undang-undang syariah Islam dan mengusir tentera asing dari Mali.

Namun, bagi menangani kumpulan-kumpulan bersenjata itu di rantau tersebut, Perancis telah meminta sokongan ketenteraan daripada rakan-rakan Eropahnya melalui Pasukan Tugas Khas Takuba.

Askar-askar dari Estonia telah menyertai misi tersebut manakala anggota-anggota tentera Sweden dijangka berbuat demikian pada tahun ini.

Republik Czech juga dilaporkan telah meluluskan rancangan penghantaran kira-kira 60 askar untuk terlibat dalam pasukan khas itu pada tahun lalu bagi menyertai operasi menghapuskan kumpulan-kumpulan bersenjata tersebut di Mali, Niger dan Chad. - Agensi