X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan bikin 'harimau menangis'

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan. - Foto FB FAM
A
A

PEMBATALAN kem latihan pusat yang dijadualkan bermula esok ternyata merencatkan persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Malah, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe juga mengakui pembatalan kem latihan itu yang sepatutnya berlangsung sehingga 26 Januari ini mampu menjejaskan perancangannya menjelang aksi kelayakan tersebut.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, beliau berpandangan anak-anak buah Cheng Hoe harus segera berlatih bersama bagi mendapatkan kembali keserasian selepas ‘berehat’ lebih setahun.

“Bagi saya semua modul latihan ini adalah perkara asas dan rasanya semua jurulatih pasukan masing-masing telah menyediakannya bagi tujuan latihan pemain.

“Justeru, kita masih perlu mencari jalan bagaimana untuk memastikan pemain-pemain kebangsaan ini dapat berlatih seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Bagi saya, kem latihan pusat itu penting, apatah lagi para pemain kebangsaan tidak berlatih bersama lebih setahun. Jadi mereka perlu segera membentuk keserasian.

“Harap pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dapat melakukan sesuatu bagi membolehkan skuad kebangsaan kembali berlatih dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selasa lalu, FAM memutuskan untuk membatalkan kem latihan pusat Harimau Malaya yang sepatutnya bermula esok sehingga 26 Januari ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu berkuatkuasa semalam.

Perkhabaran dari Wisma FAM itu ternyata meresahkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam merangka persiapan terbaik bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Mengikut jadual, Malaysia bakal berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 Mac di Dubai sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 Mac.

Pada masa sama, Sathianathan turut memberi cadangan kepada FAM agar mempertimbangkan kemungkinan untuk menghantar skuad Harimau Malaya menjalani latihan di negara jiran.

“Tak salah rasanya jika kita menghantar pasukan berlatih di luar negara buat seketika. Mungkin ia satu keputusan yang wajar untuk benarkan mereka berlatih di luar negara, jika tidak boleh berlatih di sini.

“Namun, saya percaya FAM masih mampu menangani masalah ini. Apa yang penting, para pemain kebangsaan dapat berlatih bersama sebelum aksi kelayakan tersebut,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!