Sektor perladangan dan komoditi dibenarkan sepanjang PKP

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan membenarkan sektor perladangan dan komoditi beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta darurat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia merangkumi semua aktiviti pengeluaran agrikomoditi iaitu sawit, getah, kayu kayan termasuk sektor perabot.

Beliau berkata, aktiviti pengeluaran koko, lada, kenaf dan biodiesel serta rantaiannya bagi ladang dan pekebun kecil, dagangan, input pertanian, kilang pemprosesan di samping pensijilan juga dibenarkan.

“Keputusan kerajaan itu amat wajar bagi memastikan sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil agrikomoditi tidak terjejas dan menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara.

“Selain itu, ia juga dapat memastikan rakyat terus memperoleh akses barangan keperluan sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagaimanapun, semua peladang, pengilang dan syarikat yang beroperasi sepanjang tempoh PKP dan darurat perlu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Khairuddin berkata, sebarang pertanyaan berhubung SOP boleh dikemukakan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui talian hotline 03-88803498 pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel kepada hotlinempic@mpic.gov.my.

Tambah beliau, dengan adanya pelaksanaan langkah-langkah untuk mengimbangi kesejahteraan dan kesihatan rakyat serta pemulihan ekonomi, KPPK berharap semua pihak dalam sektor tersebut dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu.

Artikel Berkaitan: