X

Kindly register in order to view this article
!

Bekalan darah bawah zon selamat

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan darah di Pusat Darah Negara (PDN) kini pada paras bawah zon selamat khususnya bagi jumlah stok darah jenis A dan O yang rendah, kata Timbalan Pengarah 1 PDN, Dr Tun Maizura Mohd Fathlullah.

Justeru, beliau merayu agar orang ramai khususnya penderma darah untuk tampil menderma darah mereka bagi kegunaan golongan yang memerlukan selain mengelakkan bekalan darah turun ke paras kritikal.

Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, penderma darah dibenarkan hadir untuk menderma.

“Permohonan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk PDN dan tabung darah menjalankan kempen derma darah serta membenarkan penderma hadir, telah diluluskan.

“Penderma perlu membawa buku derma darah atau salinan slip janji temu menderma sebagai bukti perjalanan di sekatan jalan raya (SJR), selain itu kami turut merayu agar polis (di SJR) memudahkan proses pergerakan penderma,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Beliau berkata, sekiranya bekalan darah mencapai tahap kritikal, ia mampu bertahan untuk keperluan kurang lima hari, selain hanya mampu disalurkan bagi kegunaan kes-kes kecemasan sahaja.

Jelasnya, PDN memerlukan sekurang-kurangnya antara 500 hingga 600 beg kutipan darah sehari untuk menampung kegunaan darah di hospital seperti kes pembedahan, kemalangan, ibu mengandung dan pesakit Talasemia.

Dr Tun Maizura berkata, bekalan darah di pusat itu dan tabung darah di seluruh negara umumnya, menunjukkan trend penurunan sejak negara dilanda penularan Covid-19 dari tahun lepas, berikutan orang ramai khuatir dijangkiti wabak itu menerusi proses pendermaan darah selain banyak program derma darah secara bergerak terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, proses pendermaan darah ketika ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menjamin kesihatan penderma dan petugas daripada dijangkiti wabak itu.

“Penderma darah tidak perlu khuatir kerana proses menderma darah dilakukan penuh teliti dan mengamalkan normal baharu seperti merekod suhu badan, malah kita turut membuat deklarasi saringan Covid-19 bagi setiap penderma yang hadir,” katanya.

Orang ramai dan penderma darah boleh menderma di PDN Jalan Tun Razak dan PDN Donation Suite, Midvalley Megamall di Kuala Lumpur serta Suite Derma Darah Puspanitapuri, Putrajaya, selain lokasi kempen derma darah anjuran PDN dan tabung darah di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook rasmi PDN atau www.pdn.gov.my. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!