X

Kindly register in order to view this article
!

'Politik tidak perlu kelayakan akademik'

Azahari (duduk, dua dari kanan) bersama ahli Bersatu Pulau Pinang menyatakan sokongan mereka terhadap Marzuki dalam sidang media tadi.
A
A

GEORGETOWN - 13 bahagian Bersatu Pulau Pinang menyatakan sokongan mereka terhadap setiausaha agungnya, Datuk Marzuki Yahya yang dituduh memiliki ijazah sarjana muda palsu.

Setiausahanya, Azahari Aris berkata, sokongan mereka terhadap Marzuki bukan di atas kelulusan akademik sebaliknya dilihat dari segi integriti serta kemampuan kepimpinannya.

"Kami di sini bukan mahu menjawab bagi pihak Marzuki tetapi ingin menyatakan sokongan kami terhadap beliau. Kami melihatnya bukan dari segi kelulusan akademiknya sebaliknya kemampuannya menjalankan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Kami percaya, tuduhan tidak berasas seperti ini dibuat terhadap pemimpin kerajaan seperti Marzuki adalah disebabkan pembangkang makin gelisah melihat kejayaan kerajaan baharu dalam memimpin negara," katanya.

Beliau berkata, penyertaan politik bukan seperti proses meminta kerja di organisasi syarikat yang memerlukan kelulusan tertentu.

"Parti politik tidak boleh disamakan dengan organisasi syarikat yang mana individu yang mahu menyertai politik tidak perlu melalui proses temuduga dan ditanya berkenaan kelayakan pendidikan.

"Mana-mana parti politik pun mengamalkan perkara sama termasuk pembangkang. Sesiapa sahaja boleh masuk politik tanpa mengira kelayakan akademik.

"Kami percaya, isu ini sengaja dibesarkan oleh mereka agar rakyat melihat seolah-olah berlaku kepincangan dalam kerajaan baru ini. Walau apa pun berlaku, Bersatu Pulau Pinang akan tetap menyokong Marzuki selaku pengerusi kami," katanya.

Sebelum ini, dua laporan polis dibuat oleh aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef berhubung dakwaan Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar memiliki ijazah sarjana muda palsu dari sebuah universiti luar negara.

Laporan itu juga dibuat selepas dakwaan program pengajian jarak jauh (PJJ) bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti oleh Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Sehubungan itu, Marzuki dalam sebuah portal dilaporkan menjelaskan bahawa ijazah dalam pentadbiran perniagaan beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat, dan bukan Universiti Cambridge di United Kingdom.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau menipu berhubung kelulusan ijazah sarjana muda daripada Universiti Cambridge.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!