20,000 Pengawal Negara kawal Washington

Pengawal Negara Virginia diberi taklimat di Capitol beberapa minit selepas Dewan Perwakilan mengundi untuk memecat Trump buat kali kedua pada Rabu. - Foto: AFP
Pengawal Negara Virginia diberi taklimat di Capitol beberapa minit selepas Dewan Perwakilan mengundi untuk memecat Trump buat kali kedua pada Rabu. - Foto: AFP
A
A
A

WAHINGTON - Pegawai keselamatan persekutuan dan tempatan menjangkakan kira-kira 20,000 Pengawal Negara akan dikerahkan untuk mengawal keselamatan di Washington menjelang majlis angkat sumpah jawatan bakal Presiden ke-46 Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada minggu depan.

Awal minggu lalu, Army Times melaporkan Pentagon telah meluluskan penempatan kira-kira 15,000 anggota Pengawal Negara ke District of Columbia pada hari pelantikan Biden.

Ketua Polis Metropolitan Washington, Robert Contee pada Rabu berkata, majlis penting itu ditetapkan sebagai 'acara keselamatan khas negara' dan Perkhidmatan Rahsia juga akan mengerahkan anggota mereka.

Difahamkan, kesemua anggota keselamatan dari hampir seluruh negeri di AS akan mengawal keselamatan pada hari bersejarah itu bagi mengelakkan rusuhan ganas dilancarkan penyokong Presiden Donald Trump di Capitol daripada berulang.

"Pasukan keselamatan turut dikerahkan ke Capitol pada hari tersebut," ujarnya.

Pada Rabu, Trump yang menjadi Presiden AS pertama berdepan undian pemecatan sebanyak dua kali menggesa para penyokong beliau supaya tidak melakukan keganasan seperti yang menggemparkan Washington pada minggu lalu.

"Berdasarkan laporan yang menjangkakan akan berlaku lebih banyak protes, saya meminta supaya 'tiada keganasan, tidak melanggar undang-undang dan sebarang perbuatan vandalisme.

"Bukan itu yang saya perjuangkan. Saya menggesa seluruh rakyat Amerika supaya membantu meredakan ketegangan dan kemarahan banyak pihak. Terima kasih," ujarnya walaupun beliau didakwa menghasut dan menyokong tindakan pencerobohan dilakukan kumpulan penyokongnya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Majlis pelantikan Presiden AS biasanya melibatkan operasi keselamatan secara besar-besaran, namun majlis angkat sumpah Biden pada Rabu depan berdepan kebimbangan susulan insiden rusuhan ganas yang turut meragut lima nyawa termasuk seorang anggota polis di Capitol. - Agensi