Covid-19: Polis Sarawak kukuhkan lagi Ops Benteng

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Ops Benteng akan diperkukuhkan lagi di Sarawak susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Menurutnya, pemerkasaan itu melibatkan penugasan di sempadan negeri bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan mencegah aktiviti haram seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Selain itu, sekatan jalan raya juga akan diadakan di tempat-tempat strategik.

“Tindakan secara agresif serta berterusan akan diambil terhadap pendatang tanpa izin atau ejen di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ops Benteng bertujuan untuk mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

Pada Khamis, Sarawak terus mencatat angka tiga digit bagi kes baharu positif Covid-19 untuk empat hari berturut-turut apabila 180 kes dilapor hari ini iaitu jumlah tertinggi kes harian yang pernah direkodkan setakat ini.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,920 kes.

Selain itu, Aidi berkata, tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 juga akan diambil kepada mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti pemerdangan orang dan penyeludupan migran. - Bernama

Artikel Berkaitan: