Jawatankuasa Siasatan ditubuh siasat ciapan tidak senonoh

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menubuhkan Jawatankuasa Siasatan berkaitan kes ciapan tidak senonoh pada tahun 2014 di akaun rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM dan dianggotai oleh empat orang ahli jawatankuasa.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan menjalankan siasatan secara terperinci berkaitan isu ciapan tersebut bermula Jumaat.

“Siasatan tersebut adalah bagi mengenal pasti punca melalui penelitian dokumen, peraturan, kaedah pengendalian dan pihak-pihak yang terlibat serta kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan atau penyelewengan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohammad berkata, jawatankuasa tersebut akan mengesyorkan tindakan bersesuaian antaranya tindakan tatatertib, surcaj, membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Antara langkah lain ialah mengenakan tindakan sivil di mahkamah terhadap pihak yang terlibat sekiranya kecuaian atau salah laku dalam isu ini.

“Langkah-langkah penambahbaikan juga akan dicadangkan bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang di masa hadapan.

“Siasatan akan dilaksanakan secara telus dan laporan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, akaun Twitter SKMM kecoh apabila warganet menangkap layar ciapan yang berbaur jelik dipercayai daripada akaun tersebut antara tahun 2013 sehingga 2014.

Menurut SKMM, akaun Twitter rasmi suruhanjaya itu telah diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.