398 individu ingkar arahan PKP ditahan

Seramai 398 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam. - Foto 123RF
Seramai 398 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 398 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 371 orang dikompaun manakala 18 orang direman.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (92), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (61), aktiviti pusat hiburan (16) dan aktiviti perjudian (8).

"Kesalahan lain adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (9), membawa pekerja asing tanpa permit (7), makan dan minum di premis tanpa kebenaran (3), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (16)," katanya pada sidang media, hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, Ops Benteng yang dilaksana bagi mengawal sempadan negara berjaya menahan seramai 138 pendatang asing tanpa izin, enam tekong serta merampas 13 kenderaan darat dan satu bot/kapal.

Katanya, sebanyak 267 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam yang membabitkan Op Penawar (202), Op Benteng Polis Diraja Malaysia (56) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (9).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus," katanya.

Menurutnya, sebanyak 2,874 pasukan Task Force Operasi Pematuhan terdiri 12,779 anggota telah melakukan 46,165 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 103,140 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya ditempatkan di 82 hotel serta 16 institut latihan awam termasuk institusi pengajian swasta.

Katanya, daripada jumlah itu, 7,963 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 94,637 individu sudah dibenarkan pulang.

Mengenai berita palsu berkaitan Covid-19, beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 275 kertas siasatan dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 138 masih dalam siasatan manakala 35 kes didakwa di mahkamah iaitu 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

"Dalam masa sama, 420 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Thursday, January 14, 2021