Pertimbang semula pembukaan sekolah di kawasan PKPB

NOR AZRINA
NOR AZRINA
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mempertimbangkan semula keputusan pembukaan sesi persekolahan ketika tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina berkata, pihaknya merasakan pembukaan sekolah sewajarnya bermula selepas selesai pelaksanaan PKPB iaitu pada 26 Januari nanti bagi kemaslahatan rakyat khususnya anak-anak yang bersekolah.

Menurutnya, Mukim Sungai Petani antara salah satu daripada 16 mukim dalam daerah Kuala Muda yang berada dalam zon merah sejak 5 Januari lalu dan mencatatkan bilangan kes positif harian yang masih belum menurun berdasarkan sumber Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

"Kini, penularan wabak semakin berserakan ke setiap lokasi bukan sahaja di kampung-kampung bahkan juga di taman-taman perumahan.

"Pada mulanya, kawasan ini berada dalam zon jingga dengan jumlah 40 kes pada 4 Januari sebelum bertukar menjadi zon merah pada 5 Januari apabila mencatatkan 51 kes dan terkini setakat 13 Januari telah dilaporkan 171 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nor Azrina berkata, peningkatan 120 kes dalam tempoh kira-kira seminggu amatlah membimbangkan apatah lagi apabila sekolah kembali dibuka nanti.

"Kita mendapati tarikh permulaan sesi persekolahan diumumkan KPM adalah pada 20 Januari ini bagi kawasan PKPB walaupun tempoh PKPB itu sendiri khususnya bagi di Kedah akan berakhir pada 26 Januari 2021.

"Kebenaran pembukaan sesi persekolahan yang bermula seminggu lebih awal sebelum tamat tempoh PKPB dilihat sangat kontradik dengan matlamat PKPB untuk mengekang penularan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nor Azrina berkata, pengumuman itu mengundang kebimbangan yang sangat berasas kerana pembukaan awal persekolahan melibatkan pergerakan ketara yang dikhuatiri sukar dikawal meskipun ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

"Jadi kita berharap dengan peningkatan kes positif Covid-19 yang tinggi berpunca daripada perjalanan individu-individu dari zon merah melalui pertemuan atau perjumpaan dapat dijadikan iktibar.

"Situasi seperti ini hampir pasti akan berlaku kembali jika sesi persekolahan dibuka pada 20 Januari ini dan mengharapkan agar keputusan untuk pembukaan sekolah awal seminggu dari tarikh akhir PKPB dapat dipertimbangkan semula," katanya.