ATM boleh tahan, ambil tindakan pesalah ingkar PKP

Anggota polis dan ATM menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Banting - Dengkil, susulan pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa pada Rabu.
Anggota polis dan ATM menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu kenderaan yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Banting - Dengkil, susulan pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

“Kalau dahulu ATM hanya boleh ambil tindakan kalau ada kegiatan rentas sempadan di jalan tikus, sekarang mereka boleh menahan suspek untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kehadiran polis,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PKP di sini hari ini.

Beliau berkata, ia akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutamanya di kawasan PKP bermula Sabtu ini.

Beliau berkata, kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kerana melanggar perintah ditetapkan.

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan. Tetapi selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, negeri lain di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan PKP sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati ada peningkatan mendadak kes Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ketua jabatan perkhidmatan awam perlu mempertimbangkan sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) kepada ibu bapa yang bekerja dalam perkhidmatan perlu supaya dapat memantau anak-anak di peringkat sekolah rendah semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian. - Bernama