X

Kindly register in order to view this article
!

StanChart jangka ekonomi Malaysia pulih kepada 7.5 peratus

Gambar hiasan 123RF
A
A

STANDARD Chartered (StanChart) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan pulih semula kepada 7.5 peratus pada 2021 daripada anggaran -5.8 peratus semasa tahun lepas.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan, Edward Lee, pemulihan ekonomi Malaysia sebahagiannya akan didorong oleh aktiviti ekonomi yang berterusan walaupun di tengah-tengah sekatan pergerakan yang disasarkan bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk ketiadaan sekatan secara global buat masa ini.

''Saya tidak perlu menekankan risiko semasa yang sudah jelas iaitu lonjakan Covid-19 dan pengenaan semula beberapa langkah sekatan yang telah kita lihat di Malaysia," katanya kepada pemberita pada taklimat media Global Outlook 2021 pada Khamis.

Pengenaan PKP 2.0 akan menimbulkan risiko kelemahan kepada ekonomi, dengan bank menganggarkan bahawa untuk setiap bulan PKP di seluruh negara, ia mampu mengurangkan 1-1.5 mata peratusan daripada pertumbuhan KDNK 2021.

Ini berdasarkan andaian bahawa kesan PKP 2.0 adalah 50 peratus kurang daripada PKP 1.0, memandangkan keupayaan yang lebih baik untuk menghadapi sekatan pandemik.

Tambah beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dijangka akan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) lagi berikutan peningkatan risiko akibat penularan semula kes Covid-19.

Bank pusat itu akan mengadakan konvensyen dasar monetari yang pertama pada 20 Januari ini.

“Sekatan ini sebenarnya khusus disasarkan sama ada dari segi geografi atau secara sektoral, dan keadaan sekarang ini tidak menyebabkan pengenalan semula sekatan secara global.

"Jaminan pengedaran vaksin masih ada tetapi tidak benar-benar akan mengubah prospek ekonomi. Ia hanya melambatkannya dan mungkin langkah sementara dalam erti kata itu," kata Edward.

StanChart berkata, BNM mungkin terus mengamalkan pendirian 'tunggu dan lihat'.

Pada 2020, bank pusat itu telah memotong OPR sebanyak 125 mata asas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!