Dobi layan diri dibenar beroperasi dengan syarat patuh SOP

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan pada Khamis bersetuju membenarkan kedai dobi layan diri dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata pengusaha premis dobi layan diri perlu memastikan pelanggan mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan Covid-19.

"Kedai dobi layan diri dibenarkan beroperasi dengan syarat terdapat seorang pekerja yang memantau dan menjaga SOP.

“Antaranya melakukan saringan suhu badan kepada pelanggan sebelum masuk, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, memastikan penjarakan fizikal dan tidak bersesak," katanya pada sidang media perkembangan PKP di Kementerian Pertahanan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau pematuhan SOP oleh kedai dobi layan diri tersebut.

Kerajaan sebelum ini mengeluarkan SOP membenarkan kedai dobi untuk beroperasi di kawasan PKP kecuali dobi layan diri kerana tiada pengawasan di premis berkenaan.

PKP dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan berita palsu yang tular kononnya mereka boleh balik ke kampung sehingga 15 Januari sedangkan larangan rentas negeri mula dilaksana pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Apa saya sebut sebelum ini adalah bagi mereka yang berada di kampung dan telah membeli tiket untuk kembali ke tempat kerja masing-masing boleh diberi kelonggaran untuk bergerak rentas negeri sehingga 15 Januari dengan kebenaran polis," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan sentiasa menyemak terlebih dulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber rasmi atau boleh dipercayai.

Ismail Sabri berkata, sehingga Khamis sebanyak 275 kertas siasatan dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, setakat ini, jumlah portal Sebenarnya.my sudah dilayari mencecah 238 juta.

Sementara itu, katanya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban, mukim 12 daerah barat daya dan mukim 13 daerah timur laut di Pulau Pinang serta Batu Pahat dan Johor Bahru dijadual tamat pada Khamis, namun kesemua lokaliti itu tertakluk kepada pelaksanaan PKP di negeri masing-masing dari 13 hingga 26 Januari.

"Penjara Kluang yang sebelum ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan berakhir pada Khamis, turut tertakluk di bawah PKP di Johor diikuti Dewan Arena Segitiga, lot 19094, Taman Desa Sejahtera, mukim Kota Tinggi," katanya.

Ismail Sabri berkata, PKPD di asrama pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir di Muar serta asrama pekerja Westlife 1 dan Westlife 2 di Senai, Johor, yang dijadual tamat pada Jumaat ini (15 Januari) pula dilanjutkan hingga 29 Januari depan.

Mengenai kesalahan ingkar SOP, beliau berkata, seramai 389 individu ditahan semalam dan daripada jumlah itu 371 dikompaun manakala 18 direman.

"Operasi Benteng pula menangkap 138 pendatang asing tanpa izin dan enam tekong selain merampas sebuah bot dan 13 kenderaan darat," katanya. - Bernama