Covid-19: Lima masjid di Kuala Terengganu ditutup tiga hari

Masjid Al-Hidayah Banggol Mempelam, Kuala Terengganu antara lima masjid di daerah ini yang ditutup sementara.
Masjid Al-Hidayah Banggol Mempelam, Kuala Terengganu antara lima masjid di daerah ini yang ditutup sementara.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima buah masjid di daerah ini ditutup selama tiga hari bagi proses sanitasi susulan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan sebuah pusat pengajian di sini yang mempunyai sejarah pernah menunaikan solat di masjid terbabit.

Masjid- masjid terlibat ialah Masjid Baru Serada, Masjid Banggol Katong, Masjid Al-Hidayah Banggol Mempelam, Masjid Beladau Selat dan Masjid Al Muttaqin Kepong.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, perintah penutupan premis bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit itu bermula pada Khamis (14 Januari) hingga Sabtu (16 Januari).

"Terdapat kes positif Covid-19 di Madrasatul Quran Kubang Bujuk di Kuala Terengganu yang disahkan pada Rabu iaitu pada 13 Januari 2021 mempunyai sejarah menunaikan solat di lima buah masjid ini.

"Susulan itu, pihak kesihatan telah mengeluarkan arahan bagi penutupan premis terbabit untuk membolehkan proses sanitasi dijalankan sejajar dengan Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya di sini pada Khamis.

Jabatan Kesihatan Negeri pada Rabu berkata, Kluster Kubang Bujuk didaftarkan pada 11 Januari 2021 di mana kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 406 yang dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala.

Katanya, hasil saringan kontak rapat seterusnya sehingga Rabu (13 Januari) mendapati 21 lagi kes positif di mana punca jangkitan masih dalam siasatan.

Menurut kenyataan itu, sehingga Rabu seramai 172 individu telah disaring di mana 22 kes daripadanya positif, 44 (negatif), manakala 106 lagi masih menunggu.

Artikel Berkaitan:

"Bilangan kes baharu dilaporkan pada Rabu sebanyak 12 kes dengan kesemua (22 kes) sedang dirawat," katanya.

Kes Covid-19 di Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Manir di sini adalah kali kedua di mana ia pernah ditutup selama dua minggu sejak 14 Mac tahun lalu dipercayai menjadi lokasi persinggahan pesakit positif Covid-19.

Bagaimanapun, seramai 274 daripada 330 pelajar yang menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu di pusat pengajian itu disahkan bebas Covid-19 serta telah dibenarkan pulang pada 5 April 2020.