Pinjaman tak dapat, duit simpanan pula lesap

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Hasrat seorang peniaga pakaian untuk mendapatkan pinjaman tidak kesampaian malah terpaksa menanggung kerugian hampir RM10,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 21 tahun itu dikatakan melihat iklan pinjaman wang di internet sebelum menghubungi ejen syarikat berkenaan.

Menurutnya, mangsa berhasrat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM20,000 untuk tujuan peribadi namun dikehendaki membuat bayaran pendahuluan sebagai yuran proses dan urusan dokumentasi.

"Mangsa membuat bayaran sebanyak RM9,550 melalui lima transaksi ke tiga akaun yang berbeza dan percaya bahawa wangnya itu akan dipulangkan semula.

“Bagaimanapun mangsa hanya sedar ditipu apabila ejen pinjaman wang itu masih lagi memintanya untuk membuat bayaran tambahan sekiranya mahu menerima wang pinjaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis pada Rabu.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta tidak mudah percaya kepada individu atau agen yang dikenali melalui laman sosial kerana banyak penyamaran dan akaun palsu digunakan untuk tujuan tidak sepatutnya.

Artikel Berkaitan: