PKP: MOF jamin pasaran kekal kondusif

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan memudahcara dan memastikan keadaan pasaran kekal kondusif serta teratur susulan pelaksanaan semula pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik Covid-19, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pelbagai sektor ekonomi dan ekosistem kewangan tetap dibuka dan bekalan barangan penting adalah mencukupi apabila sektor pembuatan dan perkhidmatan utama serta rantaian bekalannya dibenarkan beroperasi mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan, katanya semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-36 pada Khamis.

Mengenai Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebanyak RM2 bilion, Tengku Zafrul berkata, sebanyak 5,976 permohonan telah diluluskan dengan jumlah nilai pinjaman sebanyak RM1.149 bilion berbanding 5,764 permohonan dengan jumlah nilai pinjaman RM1.122 bilion pada minggu sebelumnya.

"Bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana setakat 1 Januari 2020, terdapat 566 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah itu sebanyak 272 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM54.8 juta berbanding 261 permohonan dengan nilai RM52.8 juta pada minggu sebelumnya.

“Mengenai Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS), juga khas untuk PKS Mikro, setakat 1 Januari sebanyak RM99.9 juta telah disalurkan di bawah skim ini dan memanfaatkan 14,946 PKS Mikro berbanding RM99.4 juta bagi 14,893 PKS Mikro pada minggu sebelumnya,” katanya.

Bagi Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM307.2 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 8,936 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan berbanding RM282.8 juta bagi 8,158 PKS mikro pada minggu sebelumnya.

Mengenai Bumiputera Relief Financing (BRF) yang telah diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), bantuan dana khas RM200 juta ini disalurkan kepada 356 PKS melibatkan jumlah RM94.2 juta berbanding 322 PKS dengan jumlah RM82.8 juta pada minggu sebelumnya.

Tengku Zafrul juga berkata, mengenai pengecualian 100 peratus duti eksport kepada sektor komoditi yang juga merangkumi industri berasaskan minyak sawit bagi merangsang pertumbuhan sektor komoditi dan nilai eksport negara, setakat 1 Januari, nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan ialah sebanyak RM593.9 juta berbanding RM426.9 juta pada minggu sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Manakala pelepasan cukai jualan 100 peratus bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50 peratus bagi model import sepenuhnya (CBU), setakat 1 Januari, nilai pelepasan cukai jualan yang telah dimanfaatkan adalah berjumlah RM201.5 juta berbanding RM197.6 juta pada minggu sebelumnya.

Tengku Zafrul juga menjelaskan Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang sibuk memulakan pelaksanaan langkah-langkah Belanjawan 2021.

“MOF sendiri akan memantau pelaksanaan 76 inisiatif. Seperti pakej-pakej rangsangan ekonomi tahun lepas, status pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini juga akan dikongsi dengan orang ramai.

“Sehubungan itu, dengan pelaksanaan pelbagai jenis PKP di seluruh negara, Kementerian Kewangan juga sedang mengkaji dan membincangkan penambahbaikan yang sesuai kepada langkah-langkah Belanjawan 2021 bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan,” katanya. - Bernama