Abang Johari akur perintah Agong, PRN Sarawak selepas darurat

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak menghormati proklamasi darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membendung pandemik Covid-19, namun tetap optimis mampu melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 sebaik sahaja perintah itu ditarik balik.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengisytiharan darurat itu dibuat mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Sarawak juga perlu akur dengan keputusan itu.

“Sekiranya keadaan bertambah baik dan Agong yakin yang keadaan semakin pulih, baginda boleh membuat pernyataan iaitu dengan menarik balik pengisytiharan darurat di beberapa tempat di Malaysia,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin di Kampung Segedup di sini pada Khamis.

Abang Johari berkata, kenaikan mendadak kes positif Covid-19 di Sarawak adalah berikutan Kluster Pasai di Sibu dan jika dapat dikawal dengan baik, penularan wabak di negeri itu akan kembali terkawal.

“Jika kami (Sarawak) mengekalkan disiplin mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan bertambah serta berjaya membendungnya, jumlah kes berkurangan, jadi terpulang kepada mereka untuk menarik balik pengisytiharan darurat, kemudian (kami boleh laksanakan) pilihan raya,” katanya.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di seluruh negara.

Tempoh mandat kerajaan Sarawak ketika ini adalah hingga Jun 2021.

Sarawak pernah mengadakan PRN pada hujung tahun iaitu PRN keempat pada 28 hingga 29 Disember 1983. - Bernama

Artikel Berkaitan: