X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa banjir di Sarawak meningkat

Mangsa banjir, Kasnawati Ram, 29, (kiri) bersama anak-anaknya ditempatkan di PPS Dewan Taman Malihah, Kuching pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat setakat petang Khamis dengan 12 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Bagaimanapun, keadaan banjir di Sabah, Pahang dan Johor semakin pulih apabila jumlah mangsa di PPS berkurangan manakala mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Kelantan kekal sama.

Setakat ini, jumlah penduduk di beberapa daerah di Sarawak yang dipindahkan meningkat kepada 1,826 orang dengan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi adalah 33.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Bau menjadi daerah terbaharu dilanda banjir yang memaksa 71 orang penduduk dipindahkan ke 11 PPS manakala Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,179 mangsa ditempatkan di 12 PPS.

Sementara itu jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Serian meningkat kepada 452 orang dan kini berada di enam PPS diikuti daerah Kota Samarahan (51 orang di sebuah PPS), Simunjan (44 orang di sebuah PPS) dan Miri (29 orang di dua PPS).

Di Sabah pula, mangsa banjir berkurangan kepada 712 orang daripada 173 keluarga setakat jam 4 petang Khamis.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir turut berkurangan kepada 9,050 orang di 112 PPS.

Paras Sungai Pahang di dua lokasi pula masih melebihi paras bahaya iaitu Lubuk Paku, Maran dan Serambi, Pekan serta di Sungai Jelai di Lipis.

Dalam pada itu, banjir di Johor juga semakin pulih apabila jumlah mangsa terjejas berkurangan kepada 892 orang melibatkan 276 keluarga setakat 3.30 petang Khamis dengan kesemuanya berada di 10 PPS di lima daerah.

Di Kelantan pula, jumlah mangsa banjir membabitkan Pasir Mas kekal 32 mangsa setakat jam 3 petang Khamis dan berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, kesemua mangsa banjir berkenaan termasuk seorang bayi lelaki ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan setakat petang Khamis Sungai Golok di Kuala Jambu masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 2.52 meter. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!