Pakar WHO tiba di Wuhan, pusat wabak Covid-19

Kumpulan pakar WHO itu dibawa menaiki sebuah bas sejurus tiba di lapangan terbang di Wuhan pada Khamis. - Foto AFP
Kumpulan pakar WHO itu dibawa menaiki sebuah bas sejurus tiba di lapangan terbang di Wuhan pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

WUHAN - Pasukan 10 pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akhirnya tiba di bandar Wuhan, China yang menjadi pusat wabak Covid-19 selepas misi untuk menyiasat asal-usul pandemik itu ditangguhkan beberapa kali.

Stesen penyiar tempatan, CGTN turut melaporkan ketibaan kumpulan itu yang menaiki penerbangan dari Singapura.

Mereka dilihat meninggalkan terminal lapangan terbang terbabit melalui terowong plastik kuaranti yang tertera 'laluan pencegahan wabak' untuk ketibaan antarabangsa sebelum menaiki sebuah bas yang dikawal ketat lengkap berpakaian sut peralatan perlindungan diri (PPE).

Kumpulan pakar itu juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media dan sebahagiannya hanya melambaikan tangan daripada dalam bas.

Difahamkan, dua anggota delegasi terbabit dilarang menaiki penerbangan ke Wuhan selepas ujian serologi antibodi berdasarkan darah menunjukkan keputusan positif ketika mereka transit di Singapura.

Pada Rabu, jurucakap kumpulan saintis global itu memaklumkan mereka akan menghabiskan masa selama kira-kira sebulan di bandar Wuhan, wilayah Hubei termasuk menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu.

Ahli biologi dari Vietnam, Hung Nguyen berkata, mereka berharap tidak akan berdepan sebarang halangan ketika melaksanakan misi sukar tersebut termasuk tiada had untuk mengakses maklumat yang diperlukan.

"Kami merancang untuk menghabiskan masa selama dua minggu untuk menemubual beberapa pihak termasuk di institut penyelidikan, hospital dan pasar borong makanan laut di Wuhan yang menjadi lokasi pertama patogen baharu itu dikesan pada akhir 2019," katanya yang dipilih menyertai misi tersebut kerana kepakarannya dalam bidang risiko keselamatan makanan di pasar basah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Beijing merekodkan kematian pertama akibat Covid-19 dalam tempoh lapan bulan ketika negara itu bergelut untuk membendung lonjakan semula kes jangkitan dan melaksanakan semula langkah lockdown di beberapa bandar.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) mengesahkan kira-kira 138 jangkitan baharu dicatatkan pada Khamis yang merupakan angka harian tertinggi sejak Mac 2020.

Menurut NHC, sebanyak 124 daripada kes jangkitan baharu itu adalah kes tempatan termasuk 81 yang direkodkan di wilayah Beijing. - AFP