Pesara polis rugi RM20,000 diperdaya 'polis'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - Seorang pesara polis rugi RM20,000 akibat diperdaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.

Kejadian berlaku selepas mangsa yang juga seorang lelaki berusia 70 tahun menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya merupakan seorang pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintenden E Sundra Rajan berkata, individu berkenaan mengugut untuk menangkap mangsa kerana didakwa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

Beliau berkata, mangsa yang ketakutan kemudian memasukkan wang sebanyak RM10,000 ke dalam satu akaun bank kononnya sebagai jaminan polis supaya tidak ditangkap.

"Selepas membuat bayaran, mangsa sekali lagi dihubungi suspek yang sama dan mengarahkan mangsa membuat bayaran kali kedua.

"Mangsa yang percaya kemudian memasukkan sebanyak RM10,000 lagi ke dalam akaun yang diberikan sebelum menceritakan apa yang berlaku kepada ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya telah ditipu dan membuat satu laporan di Balai Polis Jasin pada Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu," katanya.

Artikel Berkaitan: