Wanita Thailand ditahan bersama 105 kotak rokok seludup

Anggota polis menunjukkan rokok seludup yang ditemui.
Anggota polis menunjukkan rokok seludup yang ditemui.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita warga Thailand ditahan bersama 105 kotak rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup dalam sekatan jalan raya di Jalan Pangkor di sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, wanita berusia 56 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota yang bertugas kira-kira jam 12.15 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat di bahagian tempat duduk penumpang belakang menjumpai 105 kotak rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup.

"Kesemua 105 kotak mengandungi 20 batang setiap satu dan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 2,100 batang yang bernilai RM 2,250.

"Semakan mendapati kereta Perodua Myvi yang dinaiki suspek adalah milik suaminya dan wanita terbabit mengaku rokok yang dibeli itu untuk dijual di kedai runcit miliknya di kawasan Tanjung Tokong," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Soffian berkata, wanita terbabit memberi alasan yang dia dalam perjalanan pulang dari kedainya di Tanjung Tokong ke rumahnya di Sungai Pinang.

Katanya, wanita terbabit kini direman selama dua hari untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: