Shahidan nafi berada dalam jawatankuasa wanita

Shahidan
Shahidan
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan bahawa beliau tidak berada dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Beliau menjelaskan, wakil Barisan Nasional (BN) yang dilantik ke dalam ahli jawatankuasa berkenaan ialah Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

“Sebenarnya saya tak berada dalam jawatankuasa itu. Jawatankuasa itu sekarang ini wakilnya ialah Parit (Mohd Nizar).

“Pertukaran itu telah dibuat sebelum itu tapi ada masalah teknikal sedikit jadi saya hadir mewakili BN kelmarin. Sudah ada perubahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, media melaporkan aktivis dan ahli politik mempersoalkan pelantikan Shahidan sebagai ahli dalam jawatankuasa berkenaan.

Bantahan itu mengambil kira kes mahkamah pada Oktober 2018 apabila ahli politik UMNO itu diheret ke mahkamah atas tuduhan mencabul seorang remaja perempuan 15 tahun.

Shahidan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kangar selepas pihak pendakwaan tidak berhajat meneruskan kes kerana mangsa tidak mahu disoal dan tidak mahu meneruskan kes.

Mengulas lanjut, Shahidan turut mempersoal pihak yang mempertikaikannya jika beliau menjadi ahli dalam jawatankuasa berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kalau mereka nak cakap ada kes wanita, terdapat juga ahli Parlimen yang ada kes pada masa lepas. Ungkitlah. Terdapat juga ahli Parlimen dalam keadaan tak manis.

“Kes liwat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, sebarlah. Kes Mohamad Sabu, sebarlah. Ini hak sesetengah ahli Parlimen terlampau kecil untuk mewakili Parlimen, terpaksa ambil lelaki. Kita BN ramai tapi perempuan tidak ada.

“Cuma Datuk Seri Azalina Othman Said sahaja. Pas pun tak ada wanita. Pas pun ambil lelaki. Jadi, kita semua terpaksa ambil lelaki,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa agar mana-mana pihak untuk tidak mempolemikkan pelantikan tersebut.

Jawatankuasa dwipartisan pada Rabu melantik Azalina sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan dan ahli lainnya adalah Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan), Che Alias Hamid (Pas-Kemaman), Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dan Alice Lau (DAP-Lanang).